[VIDEO] Atlet terjun tergelincir atas papan anjal, tahan malu jatuh depan Presiden Perancis


  • Podium
  • Isnin, 08 Apr 2024

Jandard memenangi pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Dunia 2022 dan 2023. — Agensi

ATLET terjun Perancis, Alexis Jandard berdepan detik cemas apabila dia terjatuh dari papan anjal di hadapan Presiden Emmanuel Macron semasa majlis perasmian kolam renang yang akan digunakan sempena kejohanan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada Julai ini.

kejadian yang berlaku pada Khamis itu menyaksikan Jandard bersedia untuk terjun dari papan anjal dengan ketinggian tiga meter sebelum kehilangan imbangan sehingga menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam.

Manakala, dua lagi penerjun di sebelahnya berjaya melakukan terjunan dengan kemas.

Selepas insiden tersebut, Jandard sempat berkongsikan keadaannya di laman Instagram.

"Saya tergelincir, bos. Kaki saya berasa lemah dan itu membuatkan saya terjatuh. Saya jatuh di depan presiden dan seluruh warga Perancis.

“Saya mendapat banyak mesej, saya tidak percaya. Jadi tidak mengapa, ejeklah saya. Saya benar-benar layak mendapatnya," tulisnya.

BACA LAGI: Isu teknikal punca Kedah dilarang daftar pemain, FIFA akan tarik semula sekatan

BACA LAGI: 'Antara penyumbang pingat terbesar Malaysia', Natasha mahu kembalikan era kegemilangan sukan boling

Jandard membuat persembahan pada perasmian Pusat Akuatik Olimpik di Paris Saint-Denis yang merupakan salah satu kemudahan dibina khas untuk Sukan Olimpik di bandar itu pada Julai ini.

Untuk rekod, Jandard memenangi pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Dunia 2022 dan 2023 dan turut bertanding di Sukan Olimpik 2020.

“Saya mahu meyakinkan semua orang bahawa semuanya baik-baik saja, saya tidak mencederakan diri sendiri.

"Ada sedikit darah tetapi tiada apa-apa yang serius, ia tidak menghalang saya daripada pergi berlatih selepas ini," katanya lagi di Instagram.

Sukan Olimpik Paris akan bermula pada 26 Julai sehingga 11 Ogos 2024. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram