Bekas bintang Harimau Malaya antara pemain terlibat 'game' FIFA


  • eSports
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Antara bintang-bintang dunia yang berada dalam permainan video EAFC24. — Agensi

SIAPA tidak suka untuk meluangkan masa dengan bermain permainan video? Menerusi sebuah kajian yang dilakukan di internet melalui pertanyaan 'survey' oleh seorang penyelidik Amerika Syarikat, J. Clement mendapati bahawa hampir 70 peratus lelaki dewasa banyak menghabiskan masa dengan bermain permainan video pada 2022.

Permainan video yang sering mendapat sambutan hangat oleh orang ramai antaranya ialah Minecraft, Grand Theft Auto V (GTA V), PUBG, League of Legends (LOL) dan Mobile Legends (ML).

Tetapi jika kita menyentuh soal permainan video yang melibatkan sukan, semestinya bola sepak menjadi pilihan bagi merealisasikan impian kesemua lelaki dewasa untuk menjadi pemain atau pengurus bola sepak.

EAFC

EAFC24 permainan edisi baharu yang dikeluarkan EA pada tahun lepas.

Apabila kita bercakap tentang permainan video bola sepak semestinya FIFA atau kini lebih dikenali sebagai EAFC menjadi pilihan orang ramai di setiap pelosok benua.

Manakan tidak apabila syarikat pengeluar EAFC iaitu Electronic Arts (EA) mendapat keuntungan hasil penjualan FIFA 23 di serata dunia dengan lebih RM1 bilion ringgit pada tahun lalu.

Dalam keuntungan EA menghasilkan berbilion-bilion ringgit, ada di antara pemain-pemain negara pernah terlibat secara tidak langsung dalam permainan video yang dihasilkan oleh syarikat gergasi itu.

Majoriti senaraikan tiga pemain skuad kebangsaan yang pernah berada dalam siri permainan video tersebut:

Luqman Hakim

Luqman menjadi antara pemain muda sensasi selepas berkelana ke Belgium pada 2019. Agensi

1. Luqman Hakim Shamsudin

Penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Luqman Hakim Shamsudin menjadi antara pemain termuda negara yang pernah tersenarai dalam permainan video EA iaitu pada edisi FIFA 21.

Ketika itu, Luqman yang berusia 18 tahun menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk dengan mengikat kontrak selama lima tahun daripada Selangor FC.

Luqman diberikan rating sebanyak 56 dan mampu mencecah sehingga 70 jika diberi kepercayaan untuk turun beraksi bagi skuad anda.

Luqie

Rating Luqman dalam FIFA 21.

Kini, bekas graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu tidak lagi berada dalam edisi terbaharu EA iaitu EAFC24 kerana dipinjamkan ke Yokohama SCC (YSCC) yang beraksi di liga divisyen ketiga Jepun.

Bersama YSCC, penyerang Harimau Muda itu telah melakukan empat penampilan dan masih belum menjaringkan sebarang jaringan buat kelab yang berpangkalan di Yokohama, Jepun itu.

Liridon

Liridon menjadi pemain pertama naturalisasi negara yang beraksi di India. Agensi

2. Liridon Krasniqi

Pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi juga pernah tersenarai dalam dua edisi permainan EA iaitu pada FIFA 21 dan FIFA 22.

Di dalam FIFA 21, Liridon mewakili kelab Australia, Newcastle Jets FC menerusi kontrak pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menyaksikan dia diberi rating 61 ketika itu.

Manakala dalam edisi FIFA 22, Liridon menyertai kelab India, Odisha FC dan tiada perubahan rating buat pemain kelahiran Kosovo itu.

Dalam rating yang diberikan EA itu, Liridon tidak boleh meningkat ke 'level' lain apabila hanya kekal dengan rating 61 buat dua edisi tersebut.

Krasniqi

Rating Liridon dalam FIFA 22.

Untuk info, selepas India, Thailand menjadi destinasi terakhir Liridon beraksi di luar negara pada 2022 sebelum kembali ke Malaysia dengan mewakili Terengganu FC tahun lalu.

Kini Liridon masih lagi bergelar ejen bebas dengan khabar angin mengaitkan pemain berusia 32 tahun itu bersama dua pasukan gergasi iaitu Selangor dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Dion Cools

Cools ketika beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama FC Midtjylland. Agensi

3. Dion-Johan Cools

Lebih dikenali sebagai 'Mat Sejuk' oleh penyokong bola sepak tempatan, kapten Harimau Malaya, Dion-Johan Cools pernah berada dalam beberapa edisi permainan video EA.

Dion Cools berada dalam tiga edisi permainan video EA iaitu bersama kelab yang berbeza iaitu FIFA 20 (Club Brugge), FIFA 22 (Zulte-Waregem) dan FIFA 23 (FC Midtjylland) sebelum memilih untuk beraksi di Thailand pada tahun lalu.

Cools merupakan antara pemain yang mendapat rating tinggi daripada EA apabila pernah berada di kelompok 70 dan ke atas.

Namun dalam edisi terakhir FIFA 23, Cools mendapat rating 69 sebelum hilang daripada permainan video tersebut selepas perpindahannya ke FK Jablonec di Republik Czech.

Cools

Rating Cools dalam FIFA 23.

Pemain pertahanan skuad kebangsaan itu pernah beraksi bersama beberapa kelab di Belgium dan sekitar Eropah sekali gus menggunakan pengalamannya itu untuk membantu Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Di Thailand, Cools mewakili pasukan Buriram United dan telah melakukan 52 penampilan bersama pasukan yang menjuarai Thai League 1 sebanyak sembilan kali.

Adakah kita akan melihat kelibat Cools dalam edisi EAFC25 selepas dia menyatakan mahu menyertai Liga Korea Selatan selepas kontraknya bersama Buriram United tamat pada Jun nanti.

Untuk info, Liga Korea Selatan masih berada dalam EAFC24 bersama beberapa negara Asia lain seperti Australia, China dan Arab Saudi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram