SUKAN larian atau lebih dikenali sebagai maraton kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia apatah selepas berlakunya pandemik Covid-19 empat tahun lalu.
Sejak mendapat sambutan hampir setiap hujung minggu akan ada acara maraton skala besar tidak kira dalam ataupun luar ibu kota Kuala Lumpur yang disertai oleh ramai rakyat Malaysia.
Selain itu, ada juga syarikat-syarikat tempatan yang melakukan acara maraton pada hujung minggu untuk memperkenalkan jenama mereka kepada masyarakat dengan lebih dekat.
Namun ada satu lagi sukan larian yang lebih lasak dengan mengabungkan tiga elemen penting iaitu berenang, berbasikal dan berlari secara terus-menerus dalam pelbagai jarak yang tertentu.
BACA LAGI: Tarik perhatian fans Kpop, 3 kelab K League mungkin 'excited' buru tandatangan Syihan Hazmi
Chia Ling mula menyertai sukan triatlon pada usia 23 tahun.
Sukan itu dipanggil triatlon yang menuntut peserta bertanding melepasi keseluruhan trek dalam masa yang terpantas termasuk peralihan berkala antara bahagian yang melibatkan renangan, berbasikal serta lumba lari.
Tetapi anda akan lebih terkejut apabila negara kita mempunyai seorang atlet wanita yang mewakili Malaysia dalam acara triatlon di pentas antarabangsa.
Berkongsi kepada Majoriti 7, atlet triatlon negara, Pow Chia Ling, 28, berkata, sukan lasak itu memberikan kegembiraan buatnya dirinya apatah lagi ia dapat mengaitkan latihan dengan kehidupan harian.
"Saya sangat suka untuk mencabar diri sendiri, apatah lagi dalam bidang sukan.
"Saya juga dapat merasakan tiga aktiviti (berenang, berbasikal dan berlari) sebenarnya amat menyeronokkan.
"Sukan triatlon juga mengajar kita erti displin, daya tahanan dan mengajar kita untuk mencapai matlamat dalam kehidupan.
"Ia adalah metafora untuk menghadapi cabaran hidup dengan kekuatan dan minda yang positif," katanya.
Chia Ling mempunyai rutin yang baik untuk mengekalkan beliau sentiasa cergas.
Mula menyertai sukan traitlon pada usia 23 tahun, Chia Ling berkongsi bagaimana beliau boleh terpilih mewakili negara untuk ke Sukan SEA pada 2022.
"Selepas empat tahun sertai acara maraton, saya mula menyertai triatlon pertama saya seawal usia 23 tahun.
"Ketika mewakili Malaysia, ia sebenarnya kebetulan kerana saya sedang belajar di universiti dan jurulatih, Rupert Chen bertanya kepada saya sama ada berminat untuk menyertai pemilihan Sukan SEA.
"Bagi seseorang yang minat sukan seperti saya, ia adalah satu cabaran yang ketara kerana sepanjang pandemik kami bersedia untuk pemilihan itu.
"Akhirnya saya memperoleh kedudukan kedua sekali gus berpeluang untuk membawa cabaran negara dalam pertandingan itu," jelasnya.
Chia Ling mewakili Malaysia dalam acara traitlon dalam Sukan SEA 2022.
Tambahnya lagi, Chia Ling mempunyai rutin yang baik untuk mengekalkan beliau sentiasa cergas sambil berkongsi cara untuk sentiasa bermotivasi semasa sedang bersaing dalam kejohanan.
"Bagi saya ia bergantung kepada masa, saya mempunyai tempoh 'on-season' dan 'off-season'.
"Jika semasa 'on-season' ataupun kejohanan semakin dekat saya akan melakukan latihan dengan intensiti tinggi dengan fokus kepada pemakanan.
"Manakala semasa 'off-season' selepas pertandingan kami kekal dengan latihan intensiti rendah dan tiada diet pemakanan yang ketat.
"Jika semasa kejohanan saya rasa lemah semangat,apa yang sentiasa membuatkan saya kekal bermotivasi ialah progres yang sudah saya lakukan semasa dalam latihan.
"Sentiasa mengingatkan saya matlamat dan inspirasi daripada atlet-atlet lain serta sokongan dari pasukan saya sendiri," ujarnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya kerana pengulas, seluruh fans Indonesia mula jatuh hati dengan Malaysia
Chia Ling beranggapan sukan traitlon mengajar untuk mencapai matlamat dalam kehidupan.
Atlet triatlon negara ini juga sempat memberikan tips buat individu-individu di luar sana yang ingin menceburi sukan lasak yang mengabungkan tiga elemen iaitu berenang, berbasikal dan berlari itu.
"Jika anda berkira-kira untuk menyertai acara triatlon, nasihat saya adalah untuk bermula secara perlahan.
"Fokus kepada membina daya tahan dan secara beransur-ansur meningkatkan intensiti latihan anda.
"Konsisten adalah kunci kejayaan, jadi cari jadual latihan yang sesuai untuk anda melakukannya serta utamakan sesi pemulihan dan jangan rendah tentang persediaan mental.
"Paling penting tetapkan matlamat yang realistik dan raikan setiap momen penting sepanjang perjalanan anda," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram