LIGA Malaysia (Liga M) antara liga yang akan jadi pilihan utama bagi bintang serantau untuk berhijrah dan menimba pengalaman bagi memperkukuhkan karier mereka sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Musim ini, Liga M boleh mendaftarkan sehingga sembilan pemain import dengan tujuh kuota bebas, satu pemain Asia dan satu pemain Asean serta satu lagi tambahan import dibenarkan bagi pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan pertandingan kelab Asean.
Tambahan satu lagi kuota import kepada enam pemain dalam satu perlawanan bagi musim 2024/25 membuka lebih banyak peluang kepada bintang import untuk beraksi memandangkan sebelum ini hanya lima pemain dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa.
Peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu memberi peluang kepada kelab Liga Super untuk merekrut lebih banyak bintang import mengikut kemampuan kantung kewangan masing-masing.
Andik antara pemain Indonesia yang berjaya bersama Selangor. — Facebook/SelangorFC
Kebanyakan kelab Liga Super lebih gemar membawa masuk bintang import dari negara-negara Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina, pengambilan pemain Asean pula lazimnya hanya untuk mencukupkan kuota.
Kekurangan pemain dari Asean itu bukan bermaksud kelompok pemain dari negara serantau tidak berkualiti kerana beberapa tonggak utama skuad kebangsaan masing-masing pernah mewarnai Liga M dan jauh lebih baik daripada pemain kelahiran Eropah ataupun Amerika Selatan.
Antaranya ialah Hariss Harun (Singapura), Thierry Chantha Bin (Kemboja), Mark Hartmann (Filipina), Billy Ketkeophomphone (Laos), Andik Vermansyah (Indonesia) dan ramai lagi pernah bermain di dalam Liga Malaysia (Liga M).
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain wajar menjadi 'buku manual' ataupun ikutan kepada kelab yang ingin menggunakan pemain dari rantau Asean pada saingan musim 2024/2025;
BACA LAGI: [VIDEO] JDT terlepas khidmat Jay Idzes, ramai lebih gemar bek warisan Indonesia ke Inter Milan
1) Saddil Ramdani
2024 adalah tahun keempat Saddil bersama Sabah. — Facebook/SabahFC
Penyerang sayap kiri Indonesia, Saddil Ramdani semakin dikenali sejak menyarung jersi Sabah FC pada musim 2021 walaupun Sri Pahang FC merupakan kelab pertama disertai pemain itu dalam arena bola sepak tanah air.
Rekod sumbangan pemain berusia 25 tahun itu terhadap barisan serangan skuad Sang Badak pada musim 2023 dilihat bukan sahaja konsisten, malah bertambah baik berbanding dua musim sebelumnya.
Buktinya, pemain yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Liga 1 Indonesia, Persela Lamongan itu berhasil mencetak tujuh gol untuk Liga Super dan 16 hantaran bantuan secara keseluruhan bagi semua kejohanan.
Bukan itu sahaja, Saddil turut tersenarai sebagai perancang terbaik Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas dia mencipta sebanyak 23 peluang buat skuad The Rhinos dalam kejohanan berkenaan pada musim 2023.
Oleh itu, kelab Liga Super yang berminat untuk membawa masuk pemain seperti Saddil boleh melihat rakan senegaranya seperti Yakob Sayuri, Egy Maulan dan Witan untuk memperkuatkan jentera serangan.
2) Safuwan Baharuddin
Safuwan menyertai semula Gergasi Merah pada jendela perpindahan Julai 2023. — Facebook/SelangorFC
Karier bek tengah Selangor FC, Safuwan Baharuddin dalam arena bola sepak domestik ada pasang surutnya, kadang dilabel sebagai pertahanan terbaik dan kadang juga bergelut untuk memenuhi jangkaan penyokong.
Safuwan yang sudah beraksi bersama Gergasi Merah sejak musim 2020 itu bukan sahaja mengemudi pertahanan Selangor, malah diberi kepercayaan untuk bertanggungjawab sebagai ketua pasukan.
Pada awal musim 2023, pemain kelahiran Singpura berkenaan berhijrah ke Negeri Sembilan FC (NSFC) tetapi membuat pusingan U dengan menyertai bekas majikannya, Selangor pada jendela perpindahan musim 2023/2024.
Kemunculannya semula dalam pasukan berkenaan memberi nafas baharu untuk Selangor FC di bahagian pertahanan apabila sumbangannya membantu Gergasi Merah lolos ke saingan ACL2.
Sekiranya, ada kelab Liga Super berminat untuk mendapatkan bek tengah seperti Safuwan, Irfan Fandi antara calon sesuai kelahiran Singapura yang boleh diburu dengan pengalamannya pernah beraksi di saingan ACL bersama BG Pathum United.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari cat hingga kerusi baharu, tapi jenis rumput 'spoil' persediaan Selangor ke Piala AFC
3) Manuel Ott
Sejak mewarnai Liga M pada musim 2021 dengan menjadi sebahagian keluarga Melaka United, nama Manuel Ott semakin popular dalam kalangan pasukan Liga Super dek kemahirannya membuat hantaran tepat kepada bahagian serangan.
Ott yang pernah membantu United City FC memenangi saingan Philippines Football League (PFL) musim 2020 itu kini menyertai semula Terengganu FC (TFC) selepas setahun menabur bakti bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Kehadiran semula pemain berusia 31 tahun itu mampu memberikan kestabilan buat pasukan di bahagian tengah padang khususnya untuk membuka permainan bagi memudahkan serangan dilakukan ke pasukan lawan.
Musim lalu pemain kebangsaan Filipina menyaksikan Ott meledak enam gol bersama lima bantuan jaringan secara keseluruhan daripada 26 perlawanan dihadapi sepanjang mewakili Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram