"THE Heart of Asia." KALAU tidak banyak pun, pasti ada sedikit rasa terkejut apabila menjejakkan kaki di bumi Taiwan! Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta.
Mengenali Taiwan memberi pengalaman berbeza, menerbitkan rasa cinta yang tak disangka-sangka.
Oleh itu, penulis ingin kongsikan kepada anda beberapa tempat yang meninggalkan memori terbaik sepanjang percutian ke Taiwan yang merangkumi ibu kota Taipei, Kaohsiung, Taichung dan Miaoli.
Ini antara lima tempat menarik yang wajib anda kunjungi di Taiwan:
Taipei 101 adalah menara ikonik yang menjadi kebanggaan rakyat Taiwan.
1. Taipei 101
Jika anda ke Taiwan, jangan terlepas untuk kunjungi Taipei 101, menara ikonik yang menjadi kebanggaan rakyat Taiwan dan ia merupakan bangunan ketiga tertinggi di dunia.
Kehebatan teknologi juga terserlah menerusi binaan lif menara ini yang difahamkan antara lif terlaju di dunia.
Ia mengambil masa cuma seminit sahaja untuk naik dari bawah hingga ke tingkat 89.
Antara pintu masuk ke menara Taipei 101.
Pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar Taipei dari tingkat 89 ini, Tidak cuma itu, di tingkat yang sama, turut disediakan kemudahan menarik seperti kafe, kedai cenderahati, kedai cetak gambar khas, kedai aiskrim, kedai jualan setem, post box paling tinggi di Taiwan dan banyak lagi.
Menara ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari dan anda dapat menikmati panorama Taipei dari observation deck di samping berpeluang membeli-belah di sini.
Di sekitar kawasan Taipei 101, terdapat pelbagai reka bentuk pembinaan yang masih mengekalkan beberapa struktur bangunan lama yang akan membuatkan anda berada dalam filem-filem lama.
Penulis merasai pengalaman memetik buah tomato di Taiwan.
2. Memetik buah di perkampungan Kaohsiung
Ini antara pengalaman yang anda perlu rasai apabila datang ke Taiwan, ini kerana buah-buahan atau sayur-sayuran di negara itu tumbuh dengan subur bertemankan cuaca yang sejuk.
Mungkin ia hanyalah aktiviti memetik tomato yang boleh dilakukan di Malaysia, tetapi pengalaman yang dirasai amat berbeza kerana suasana kampung ditambah dengan persekitaran udara yang nyaman, tidak dapat dirasai di mana-mana tempat melainkan destinasi ini.
Penulis bersama rakan media lain disambut mesra oleh penduduk kampung.
Selepas memetik buah tomato, penduduk kampung di kawasan itu akan menyantuni anda dengan hidangan teh Taiwan serta buah-buahan yang tidak boleh didapati di Malaysia.
Semasa menghidangkan teh, anda akan diberikan ilmu pengetahuan baharu mengenai cara untuk menghidangkan minuman tersebut dengan lebih berkesan tanpa menggunakan apa-apa perisa tambahan.
Ia sekali gus memberikan anda pengalaman merasai rasa sebenar teh Taiwan yang sangat asli.
Pelancong luar negara turut melawat X Park Aquarium bagi merasai pengalaman berbeza berada dalam kawanan ikan.
3. Xpark Aquarium
Merupakan aquarium terbesar yang pertama di Taiwan, X Park Aquarium ini dianggarkan berkeluasan sekitar 14.876 meter persegi dan menyimpan pelbagai jenis habitat laut seperti, ikan, anjing laut, penguin dan banyak lagi.
Pavilion tiga tingkat ini menyediakan banyak aktiviti menarik untuk pengunjung dan ia tidak cuma sekadar melihat haiwan semata-mata.
Antara haiwan comel yang berada dalam X Park Aquarium.
Anda juga boleh berehat sambil menikmati secawan kopi yang disediakan di tingkat satu sebelum menyambung semula ‘pengembaraan’ di dalam X Park Aquarium yang turut dilengkapi dengan teknologi visual yang berkualiti tinggi.
4. Miaoli Old Mountain Line Rail Bike
Mahukan pengalaman membawa kereta api mini di dalam hutan sambil menikmati pemandangan yang indah?
Ya! Anda wajib melawat Old Mountain Line Rail Bike yang terletak di daerah Miaoli, Taiwan.
Ia akan memberikan anda pengalaman yang sangat berbeza apabila berbasikal menggunakan kereta api mini di atas landasan kereta api yang sudah berusia lebih 100 tahun.
'Boba milk tea' ialah salah satu minuman kegemaran penduduk Taiwan.
Selain daripada itu, anda berpeluang melawat sebuah perkampungan kecil yang berada di sekitar landasan kereta api itu dengan mencuba hasil tanaman yang ditanam oleh penduduk kampung dalam kawasan tersebut.
Penat berkayuh? Anda juga boleh mencuba untuk minuman tumpuan penduduk Taiwan iaitu 'Boba Milk Tea'. Di sini, penulis memilih untuk minum air boba yang dihasilkan daripada keledek dan madu.
Suasana malam di Ximending Night Market.
5. Ximending dan Liuhe Night Market
Pastikan anda menginap di sekitar Ximending jika di Taipei, dan penulis memilih untuk menginap di PaPa Whale Hotel yang mana anda boleh berjalan kaki di sekitar 'fashion street' Ximending.
Kawasan Ximending ini sangat meriah pada waktu malam dengan persembahan busker, persembahan silap mata dan banyak lagi.
Malah, jika anda ingin membeli pakaian fesyen trend terkini, Ximending adalah tempatnya kerana banyak butik boleh didapati di sekitar kawasan itu.
Selain itu, penulis sangat kagum dengan kemudahan pejalan kaki yang disediakan di Taiwan kerana fasiliti yang disediakan memudahkan urusan pelancong untuk bergerak ke sana sini tanpa perlu risau jarak satu tempat ke tempat yang lain.
Antara snek yang dijual di Liuhe Night Market.
Bukan sahaja Ximending, anda juga perlu melawat Taichung dan Liuhe Night Market di Kaohsiung jika anda merupakan seorang 'food hunter'.
Ini kerana ia adalah pasar malam yang anda wajib pergi untuk 'food hunting' berbagai-bagai jenis makanan.
Banyak pilihan boleh didapati seperti sweet potato, jagung berkeju, jus buah dan banyak lagi 'street food' dijual di kawasan tersebut.
Tetapi penulis ingin mengingatkan pembaca, sebagai seorang Muslim, anda perlu sentiasa berhati-hati untuk membeli makanan di Taiwan kerana perlu meneliti bahan yang digunakan sebelum kita menjamu selera agar tidak berasa ragu-ragu atau was-was dengan cara penyediaannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram