Ranking nombor 1 dunia, Nur Ikhsan mahu dodgeball jadi sukan berprestasi tinggi Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 21 Apr 2024

Ikhsan sebagai kapten skuad dodgeball negara berharap sukan akan menjadi sukan berprestasi tinggi di Malaysia.

PASTI anda semua pembaca ketika di zaman persekolahan ataupun kanak-kanak pernah bermain satu permainan yang diberi nama bola beracun.

Cara-cara permainan itu dimainkan ialah anggota badan tidak boleh terkena bola ataupun objek yang dibaling pihak lawan.

Sekiranya tersentuh pemain terpaksa meninggalkan gelanggang perlawanan.

Walaupun permainan ini dianggap mudah kerana hanya aktiviti yang selalu dimainkan oleh rakyat Malaysia semasa zaman meningkat dewasa.

Namun kini, permainan bola beracun atau nama rasminya dodgeball mula mendapat perhatian seluruh dunia sehingga terdapat Kejohanan Dodgeball Dunia.

Anda jangan terkejut apabila skuad dodgeball negara pernah mencipta sejarah apabila mencatatkan pelbagai keputusan positif di pentas antarabangsa.

Meskipun skuad negara mencatatkan pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa jarang untuk kita mengenali atlet yang bernaung di bawah Malaysia Dodgeball Federation (MDF) itu.

WhatsApp Image 2024-03-27 at 10.54.16 PM

Sukan dodgeball diharap mampu mendapat sambutan meluas daripada masyarakat menerusi pelbagai program yang dianjurkan oleh MDF.

Dengan ini Majoriti mendapatkan kapten skuad negara Dodgeball, Mohd Nur Ikhsan Sofyuddin, 30, yang menjadi individu penting kejayaan sukan itu di pentas antarabangsa.

Ikhsan yang berasal daripada Perlis Indera Kayangan sudah terlibat dalam sukan dodgeball hampir 14 tahun apabila dia bermula berjinak-jinak ketika zaman persekolahan.

"Perjalanan awal saya terlibat dengan dodgeball sejak zaman sekolah pada 2010 yang mana sewaktu itu saya bermain untuk negeri kelahiran iaitu Perlis.

"Namun perjalanan saya terhenti pada 2011 dan berehat panjang sebelum kembali beraksi pada 2015 sehinggalah saya diperkenalkan dengan Malaysia Dodgeball Federation pada 2017.

"Pada 2017 saya banyak terlibat dengan kejohanan yang dianjurkan MDF dan tahun tersebut jugalah mereka melamar saya untuk menjadi atlet pelapis bagi skuad negara bagi tahun seterusnya.

"Oleh kerana saya mampu bersaing dengan skuad 2017, MDF menyenaraikan saya ke dalam pasukan campuran untuk beraksi di Kejohanan Asia Pasific Championship 2017 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Kuala Lumpur.

"Daripada kejohanan itulah bermulanya karier saya sebagai pemain kebangsaan yang mana saya juga diberi tanggungjawab untuk menjadi kapten pasukan pada 2018 sehingga kini," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-03-27 at 10.54.15 PM (2)

Ikhsan (depan) mula bermain dodgeball pada 2010.

Untuk info, di Malaysia terdapat dua jenis badan persatuan yang mengendalikan sukan dodgeball iaitu Malaysia Association Dodgeball (MAD) dan Malaysia Dodgeball Federation (MDF).

Tambahnya lagi, tiada beza dodgeball dengan sukan lain yang mempunyai setiap posisi cumanya aktiviti tersebut tiada formasi kerana tujuan utama adalah untuk menewaskan pihak lawan.

"Dalam dodgeball juga ada beberapa posisi namun ia tiada formasi kerana tujuan utama sukan ini untuk menyingkirkan pihak lawan dengan membaling bola.

"Oleh kerana itu, memang pemain hanya akan berdiri dekat garisan belakang gelanggang untuk mengelak daripada terkena bola," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-03-27 at 10.54.15 PM

Ikhsan (dua dari kiri) ketika beraksi untuk skuad negara.

Sepanjang hampir 14 tahun bergelar atlet dodgeball negara, pelbagai kenangan pahit dan manis yang tidak akan dilupakan Ikhsan dalam membawa nama negara di pentas antarabangsa.

"Kejayaan manis saya pada 2017 yang mana saya diberi kepercayaan untuk menjadi 'first lineup' pasukan campuran dan sewaktu itu saya berlatih dengan skuad kebangsaan hanya dalam tempoh tiga atau empat bulan.

"Menariknya dalam kejohanan itu, Malaysia memenangi kesemua kategori yang dipertandingkan iaitu lelaki, wanita dan campuran.

"Pengalaman pahit saya ialah ketika melakar kejayaan naib juara sebanyak tiga kali berturut-turut, namun begitu, pasukan campuran masih memegang ranking nombor satu dunia.

"Cabaran saya sebagai kapten adalah untuk menjaga motivasi setiap pemain semasa kejohanan yang mana mental merupakan kunci utama dalam kejayaan.

"Jika mental rakan sepasukan lemah, mereka akan rasa takut, kurang keyakinan diri dan juga selalu buat kesalahan kecil," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-03-27 at 10.54.15 PM (1)

Ikhsan (jersi nombor 94) melakukan teknik serangan ke pihak lawan.

Ikhsan berharap sukan dodgeball akan mendapat sambutan meluas daripada masyarakat menerusi pelbagai program yang dianjurkan oleh MDF.

"Sebagai kapten kebangsaan, harapan saya ingin melihat dodgeball ini menjadi seperti sukan bola sepak yang mana semua orang berminat untuk bermain dan menonton dan pada masa sama memberikan sokongan.

"Saya juga berharap agar suatu hari nanti sukan ini menjadi sukan teras yang tersenarai dalam sukan berprestasi tinggi di Malaysia.

"Untuk mengembangkan dodgeball perlu ada kejohanan di peringkat sekolah dan universiti yang mana MDF telah mula bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkenalkan sukan ini ke dalam aktiviti '1 Murid 1 Sukan'.

"Nasihat saya untuk individu yang mahu terlibat dalam sukan ini agar jangan pernah takut untuk bermain kerana dodgeball sukan yang sangat menyeronokkan.

"Manakala untuk individu yang sudah terlibat dengan dodgeball, jangan berhenti berlatih dan teruskan belajar, yang paling penting jangan pernah ego," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram