AKSI persahabatan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak terhenti apabila mereka menerima kunjungan kelab Singapura, Lion City Sailors di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin.
Seperti dijangka, skuad Harimau Selatan mudah meraih kemenangan 4-0 dengan dua daripada gol itu dijaringkan Juan Muniz dan satu masing-masing daripada Fernando Forestieri dan Heberty Fernandes.
Keputusan positif itu pasti akan menyuntik semangat buat pasukan kendalian Hector Bidoglio memasuki musim baharu dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan.
Perasaan berkenaan turut dikongsikan penyokong JDT yang turun memenuhkan stadium untuk mengubati kerinduan terhadap juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Identiti penjaga gol bertopeng JDT cetus tanda tanya, GK Filipina jadi sebutan
Kelibat Silvestri (kiri) menimbulkan spekulasi baharu dalam kalangan penyokong JDT. — Facebook/Empayar Darul Takzim
Bagaimanapun, apa yang lebih menarik adalah apabila pengikut setia Harimau Selatan mendapati terdapat seorang tetamu istimewa menyaksikan perlawanan itu.
Berdasarkan satu hantaran di laman Facebook Empayar Darul Takzim - EDT, individu dimaksudkan ialah Marco Silvestri yang merupakan penjaga gol Udinese Caclio di Itali.
Ketinggiannya yang mencecah 1.91 meter itu sudah tentu mencuri perhatian ramai memandangkan seseorang dengan fizikal sebegitu diperlukan di pentas Asia.
Namun, masih tidak diketahui identiti sebenar individu berkenaan kerana gambar yang dimuat naik sedikit samar dan tidak memaparkannya secara keseluruhan.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT terlepas khidmat Jay Idzes, ramai lebih gemar bek warisan Indonesia ke Inter Milan
Silvestri kelihatan seakan-akan individu misteri di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin. — Agensi
JDT difahamkan dalam misi membawa seorang penjaga gawang baharu pada jendela perpindahan kali ini apabila mereka akan berentap di Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit musim depan.
Khabar angin itu timbul selepas satu bayangan diberikan kelab Selatan tanah air itu dalam video pengumuman jersi penjaga gol baharu memaparkan seseorang memakai topeng berpakaian ungu.
Pengalaman dimiliki Silvestri di pentas Eropah pastinya dapat meningkatkan keutuhan benteng pertahanan pasukan yang sedikit goyah dalam saingan tersebut pada 2023.
Sekiranya pemain berusia 33 tahun itu sah menyertai skuad Harimau Selatan, dia bakal menjadi penjaga gol import pertama dimiliki mereka sejak penubuhan mereka pada 2013. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram