SELEPAS menerima pelbagai kecaman dari macam-macam sudut atas insiden yang menimpa rumput Stadium Nasional Bukit Jalil beberapa kali, akhirnya satu tindakan tegas telah pun diambil.
Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta Kementerian Belia & Sukan (KBS) mencapai kata sepakat untuk melakukan tindakan tepat demi menjaga rumput gelanggang rasmi Harimau Malaya itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh PSM, Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh mengeluarkan moratarium jangka pendek bagi menghalang sebarang pembinaan struktur pentas bagi mana-mana konsert yang akan diadakan di stadium tersebut.
Hal ini kerana, mereka mahu menjaga kualiti rumput dengan ia memerlukan satu tempoh masa yang mencukupi sebelum ia benar-benar mencapai tahap terbaik.
BACA LAGI: 'Tunggu kenyataan rasmi', CEO Kedah enggan ulas keputusan MFL potong 3 mata
Keadaan padang ketika aksi menentang Oman menerima kecaman hebat penyokong. — FAM
BACA LAGI: Tunjuk taring lawan Perak, jeneral muda Brazil dalam radar Penang
Menurut PSM, keputusan itu diambil selepas mengambil mengadakan mesyuarat bedah siasat (post-mortem) yang dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Windsor John selepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.
"Susulan daripada hasil post-mortem, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di atas rumput sehingga keadaan rumput mencapai tahap yang baik," kata PSM.
Pada masa sama, PSM juga mengatakan mereka mengadakan sesi dialog dengan para penganjur konsert di Bukit Jalil pada masa akan datang mengenai keputusan diambil.
Menurut PSM, Bukit Jalil masih lagi dibuka untuk kepada semua penganjur konsert untuk melakukan tempahan. Namun mereka dikenakan syarat lebih ketat mengenai pemasangan struktur pentas.
Selepas ini, para penganjur konsert dilarang sama sekali meletakkan struktur binaan konsert di atas padang namun masih dibenarkan pada bahagian lain dalam stadium.
"Dialog bersama penganjur konsert itu turut membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh PSM untuk menyediakan fasiliti yang lebih sempurna.
"Penganjur masih boleh membuat tempahan namun sebarang struktur pentas dan menara bunyi adalah dilarang di atas padang. Ini merupakan langkah untuk tidak menjejaskan rumput di SNBJ dan memastikan rumput berada dalam keadaan optimum untuk perlawanan bola sepak yang akan datang," ujar PSM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram