Lepas bangkit dari kecederaan ACL, Ayon kini mahu buktikan usia sekadar angka


  • Podium
  • Isnin, 08 Apr 2024

Sentuhan Ayon didambakan Selangor FC yang mahu menjuarai MPFL musim ini. — Facebook/Selangor Futsal

UMUR hanya sekadar angka. Itulah satu ungkapan terbaik untuk menceritakan karier legenda sukan futsal negara, Khairul Effendy Bahrin yang masih aktif secara profesional sehingga hari ini.

Usianya yang sudah mencecah 37 tahun tidak dijadikan alasan baginya beraksi di tahap tertinggi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bersama Selangor FC.

Lebih mengagumkan lagi, Khairul atau lebih dikenali sebagai Ayon mengejutkan rata-rata peminat futsal apabila masih mahu bermain selepas mengalami kecederaan serius.

Kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dihadapinya pada 2023 menyaksikannya terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi sepanjang tahun itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah penghalang buatnya kembali ke gelanggang futsal dengan kesungguhan tersebut cukup sesuai untuk menceritakan statusnya sebagai legenda tanah air.

BACA LAGI: [VIDEO] Malang tak berbau, fans futsal JDT kena 'headshot' rembatan tonggak import Brazil

Malaysia's Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (left) vies for the ball with Thailand's Apiwat Chaemhareon (right)  during the final match  at the 29th SEA Games Kuala Lumpur 2017  at Panasonic Sports Complex in Shah Alam, yesterday. MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

Ayon (kiri) ketika mewakili negara dalam aksi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Tetapi, pujian melambung yang diberikan terhadapnya tidak membuatkan pemain itu lupa diri dan sedar bahawa terdapat mereka yang lebih baik daripadanya.

"Alhamdulillah, tipulah kalau kata tak rasa bangga dengan kejayaan yang kita usahakan selama ini, tetapi saya sering mengingatkan diri supaya sentiasa rendah diri kerana ada yang lebih bagus daripada saya," katanya kepada Majoriti.

Sepanjang kariernya, Ayon pernah beraksi bersama beberapa pasukan, termasuk Pahang Rangers selain berpeluang melebarkan sayapnya di Liga Futsal Pro Indonesia dengan SKN FC Kebumen pada 2018.

Di samping itu, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Diploma Sains Sukan itu juga pernah diangkat sebagai tonggak skuad futsal negara buat beberapa tahun.

Tambahnya lagi, keazaman merupakan kunci utama yang mendorongnya untuk kekal aktif dalam sukan futsal dengan pelbagai cabaran berjaya ditempuhinya.

BACA LAGI: 'Belasungkawa FAP', cemerlang musim lalu seakan tak bermakna, futsal Penang akhirnya terkubur

9AyonHome-8 (1)

Sentuhan Ayon masih didamba meskipun usianya kini melangkau 37 tahun.

"Disiplin, sikap dan komitmen. Bagi Ayon, sesiapa pun boleh jadi yang terbaik jika mereka berpegang pada prinsip ini.

"Selain itu, sentiasa cari masa dan peluang untuk buat lebih dari kebiasaan. Dorong diri sendiri dan teruskan usaha sebab ini adalah apa yang dikehendaki dan saya perlu bagi yang terbaik," katanya.

Antara pencapaian pernah diraihnya adalah apabila membantu skuad kebangsaan membawa pulang pingat perak Sukan SEA 2017 di samping dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Futsal AFF 2018.

Kini, pemain berkenaan masih dilabel sebagai tonggak Selangor FC dengan gerakan, hantaran dan kelibatnya diharapkan mampu menghadiahkan gelaran juara MPFL 2024 buat pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram