PADANG Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sudah beberapa kali menjadi bahan bualan peminat bola sepak negara yang ternyata jelas kecewa akan kualitinya.
Penjagaan tidak rapi dan penggunaan yang kerap terutamanya untuk penganjuran konsert menyaksikan rumput ditanam baru-baru ini tidak dapat menjalani proses tumbesaran sepatutnya.
Ia dapat disaksikan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac lalu yang melihatkan padang beberapa kali terkopak dan tercabut.
Masalah itu berpunca daripada penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari, sekali gus tidak memberi masa bagi rumput untuk pulih sepenuhnya.
Isu tersebut mendapat perhatian rata-rata penyokong yang malu dengan keadaan sedemikian apabila perlawanan itu cukup berprestij di mata dunia.
BACA LAGI: Cuaca tak menentu, apa akan jadi pada padang Bukit Jalil sebelum jumpa Oman
Malah, legenda bola sepak negara, Safee Sali turut berkongsi pandangan sama di mana dia berasakan padang tidak boleh digunakan sekiranya situasi itu kekal pada masa akan datang.
"Sesetengah pihak mungkin tidak bersetuju dengan apa yang bakal saya katakan, ia adalah mengenai padang. Kita memang sudah maklum bahawa ia memang sangat teruk.
"Mana boleh main di padang sebegitu. Jika kita tengok, padang terangkat dan ramai (pemain) yang perlu membetulkannya. Itu bukan padang bola yang sesuai untuk pasukan kebangsaan beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.
Pandangan itu dikongsikan dalam satu video terbaru di laman YouTube Sports Tarik yang menyaksikan bekas pemain Johor Darul Ta'zim dan Selangor berkenaan mengupas aksi berdepan Oman.
Dalam aksi terbabit, situasi padang dikatakan menjadi punca skuad kendalian Kim Pan-gon gagal beraksi baik sehingga menyaksikan mereka tewas dengan keputusan 0-2.
BACA LAGI: PSM akhirnya bertindak, sekat penganjur konsert letak struktur pentas pada rumput SNBJ
Safee Sali gusar akan keadaan pemain jika beraksi di atas padang yang rosak.
Kekalahan tersebut meletakkan Harimau Malaya di tangga ketiga Kumpulan D dalam kempen kelayakan yang mana menyulitkan hasrat untuk mara ke peringkat seterusnya.
Tambah Safee lagi, padang sebegitu tidak sesuai kerana ia meningkatkan risiko kecederaan dengan seorang pemain negara sudah menjadi 'mangsa' atas masalah berkenaan.
"Bukan kita nak menjatuhkan, tetapi kita nampak itu adalah kenyataan selepas dilihat dengan mata sendiri. Sudah berapa lama perkara ini tidak selesai lagi?
"Pemain kita, Azam Azmi (Murad) mengalami kecederaan selepas hanya beraksi untuk dua minit. Jadi, ini mesti dibetulkan sekarang juga. Jika padang itu tidak elok, jangan main," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram