KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman FC berjaya mendapatkan seorang lagi pemain baharu iaitu Hasbullah Abu Bakar.
Hasbullah yang beraksi sebagai pemain tengah merupakan rekrut dari Negeri Sembilan FC. Pemain berusia 29 tahun tersebut sebelum ini hanya menghabiskan kariernya beraksi di ketiga-tiga kelab bahagian selatan Semenanjung Malaysia iaitu Melaka United FC dan Johor Darul Ta'zim FC.
Memandangkan Kedah merupakan kelab pertamanya di bahagian Utara, tidak terkejut jika Hasbullah begitu teruja menyertai pasukan seperti Sang Kenari.
Antara salah satu sebab adalah faktor Nafuzi Zain yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya bagi memberikan sengat di bahagian tengah.
"Untuk saya perasaan tu membuak-buak dan teruja sangat bermain dengan pasukan Kedah Darul Aman, dengan pemain-pemain yang cukup berpengalaman dan sangat berkualiti dalam Liga Malaysia ini. Jadi saya tak sabar beraksi dengan pasukan Kedah.
"Peranan Nafuzi Zain sendiri yang mahukan saya beraksi, sebagai pemain saya teruja dengan minat yang ditunjukkan jurulatih.
"Saya sentiasa cuba yang terbaik untuk buat penyokong suka dengan penampilan saya di sini. Harap semua penyokong memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada pasukan Kedah," kata Hasbullah.
BACA LAGI: MFL jalan terus, kekal pendirian hanya 13 kelab sertai Liga Super
BACA LAGI: SNBJ bakal anjur konsert lagi, 2 minggu sebelum Harimau Malaya lawan Chinese Taipei
Walaupun teruja untuk beraksi bersama-sama Kedah, tetapi Hasbullah berdepan isu yang menyaksikan kehadirannya seakan-akan tidak direstui penyokong.
Melihatkan kepada statistik Hasbullah yang cuma mempunyai 69 penampilan sepanjang karier, ramai yang menganggap kehadirannya tidak lebih daripada sekadar pemain sparring semata-mata.
"Habuan sparring ja ni," kata penyokong bernama Nadim Ahmad.
"Bagus ke dia ni? 'Ubi' Kedah ramai lagi," soal Fahmi Al Mashoori pula.
Dalam masa yang sama, ada yang menganggap keputusan mendapatkan Hasbullah bukanlah tindakan bijak kerana Kedah seharusnya mengutamakan bakat sendiri.
Mereka berpendapat lebih elok mengutamakan bakat tempatan atau mendapatkan pemain import berkualiti.
"Teruskan formula yang salah dengan mengambil pemain luar yang tidak perlu. Patut tengah susah ini, kembangkan bakat anak negeri. Ini masih dengan sikap lama juga. Malang!," kata penyokong bernama Mie KeCheq.
"Mana punya ambil ni? Umur 29 dah," komen Che Red pula.
"Untuk info, kami sedang tunggu pemain pertahanan tengah import," ujar Kapten Leo.
Mungkin profil Hasbullah tidaklah sehebat pemain lain dan ia menyebabkan timbulnya keraguan dalam kalangan penyokong.
Akan tetapi, inilah masanya untuk dia membuktikan kebolehan supaya berjaya menambat hati para penyokong Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram