Kembali ke Terengganu, Ott sedia jadi 'perampas' demi kukuh posisi


  • Podium
  • Selasa, 02 Apr 2024

Manny Ott mahu pastikan tempatnya dalam kesebelasan utama terjamin. — Terengganu FC

PEMAIN tengah Terengganu FC, Manny Ott mempunyai misi yang tersendiri untuk dirinya apabila kembali semula menyertai kelab tersebut.

Selepas semusim meninggalkan kelab untuk bersama Kedah Darul Aman FC, Ott kembali semula ke Terengganu dengan harapan untuk mengemudi barisan tengah kelab Pantai Timur itu.

Ott yang mewakili Terengganu pada musim 2022 merupakan antara muka wajib membarisi kesebelasan utama ketika itu. Namun begitu untuk musim 2024/2025 semuanya berbeza kerana penghuni posisi tengah skuad Penyu tidak sama seperti dua tahun lalu.

Dengan adanya pemain Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov serta rekrut baharu iaitu Akram Mahinan, Ott sedar dia perlu berusaha keras bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Dan itu adalah misi peribadinya pada musim ini. Ott mahu menyampaikan mesej buat penyokong Terengganu yang dia seolah-olah tidak pernah menjauh daripada kelab itu.

BACA LAGI: SNBJ bakal anjur konsert lagi, 2 minggu sebelum Harimau Malaya lawan Chinese Taipei

434746036_408278378580269_4870843635803095072_n

Ott kembali ke Terengganu selepas semusim meninggalkan kelab itu. — Terengganu FC

BACA LAGI: Jangan risau tewas kepada Selangor II, 'simpan kuku' dan keserasian antara petanda positif TFC

"Secara peribadi, saya boleh kata ini skuad yang berkualiti namun jurulatih akan menentukan siapa yang terbaik untuk bermain.

"Walau apa pun, saya bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan ini," kata Ott memetik laporan Malaysian Football League (MFL).

Itu adalah sasaran peribadi yang ditetapkan dalam diri Ott sendiri, selain itu, dia tetap mengharapkan kejayaan akan tiba buat Terengganu musim ini.

Menjadi sebahagian daripada skuad Terengganu yang berjaya menjadi naib juara Liga Super, Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada 2022, sudah pasti Ott mahu mengulangi pencapaian tersebut walaupun kelab kini dibimbing oleh Tomislav Steinbruckner.

Menurutnya, untuk mencapai tahap sedemikian, tiada jalan lain selain daripada memberikan persembahan baik setiap minggu dan bekerja keras sejak dari pra-musim lagi.

"Sudah pasti saya mahu membawa pasukan ini bermain di pentas final seperti di tahun 2022, namun kami perlu konsisten setiap minggu dan pra-musim adalah sangat penting untuk kami memulakannya," ujar Ott.

Musim ini, Terengganu hanya melakukan jelajah pra-musim dalam Malaysia dengan mereka mengatur aksi persahabatan berdepan Selangor FC II, PDRM FC serta Negeri Sembilan FC.

Perlawanan pertama pra-musim telah pun diadakan dengan Terengganu tewas 1-2 kepada skuad pembangunan Gergasi Merah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram