SELANGOR FC sepertinya sudah menemui pembantu jurulatih Nidzam Jamil apabila seorang kelibat individu tidak dikenali berada di sesi latihan Gergasi Merah bersama dengan barisan pemain.
Sebelum ini, Nidzam mendedahkan yang dia mahukan seorang pembantu tempatan dan antarabangsa untuk membantu dia membimbing Selangor dalam cabaran Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 dan Liga Juara-Juara Asia (ACL2).
Bercakap mengenai kriteria bakal orang kanannya itu, Nidzam menginkan seorang pembantu jurulatih yang memahami DNA bola sepak Selangor supaya lebih mudah kejayaan dapat dijana pada musim baharu ini.
Tetapi yang paling utama adalah bekas pengendali Felda United berkenaan mahukan pembantu bergred Asia tidak kira bagi nama tempatan atau antarabangsa untuk melatih Selangor.
Dari beberapa kriteria yang diperlukan pengendali berusia 43 tahun berkenaan, Gergasi Merah dipercayai sudah menemui seorang jurulatih kelahiran Ireland iaitu Conor Laurence Nestor yang dikesan sudah berada pada sesi latihan kelab.
BACA LAGI: Tolak tepi isu 'padang buruk', fans Oman mahu bintang harapan benam Harimau Malaya
Conor Laurence dikaitkan akan membantu Nidzam mengemudi Selangor FC. — Agensi
BACA LAGI: Jurulatih pergi, 'owner' kekal', penyokong Kelantan berang kelab lepaskan Alfredo Vera ke Indonesia
Conor Laurence dicanang bakal menjadi 'kawan karib' dalam melatih Selangor musim ini apabila sekeping gambarnya menyarung kit latihan jurulatih Gergasi Merah sudah menjadi buah mulut penyokong Selangor.
Berdasarkan semakan Majoriti, jurulatih berusia 39 tahun itu sudah dilantik sebagai pembantu jurulatih Gergasi Merah yang berkuat kuasa pada 6 April dan lantikanya sah sehingga 30 April 2025.
Sebelum dikaitkan bersama Selangor, Conor Laurence menjalankan tugas dengan kelab Liga Super India, Hyderabad FC sebagai jurulatih teknikal untuk enam bulan terakhir musim 2023.
Kejayaan manisnya sepanjang bergelar sebagai jurulatih apabila membawa Preah Khan Reach Svay Rieng FC sebagai juara Liga Kemboja untuk musim 2019 dengan mengutip 65 mata dan merekodkan 20 kemenangan, lima seri dan satu sahaja kekalahan.
Conor Laurence berkhidmat hampir enam musim bersama Svay Rieng FC dan konsisten membantu kelab berkenaan menghuni kedudukan tiga teratas Liga Kemboja sehingga dia memutuskan untuk berpisah dengan kelab itu pada Jun 2023.
Begitupun, status rasmi Conor Laurence bersama Selangor FC masih belum diketahui selagi kelab Lembah Klang berkenaan tidak mengumumkan perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram