Tolak tepi isu 'padang buruk', fans Oman mahu bintang harapan benam Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 26 Mac 2024

Oman memburu kemenangan kedua bertemu Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Oman FA

DRAMA yang menyelubungi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman ketika ini berkisar terhadap keadaan rumput Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kedua-dua pasukan jelas berada dalam keadaan tertanya-tanya, macam mana dengan kualiti rumput? Hal ini kerana, skuad Malaysia dan Oman terpaksa melakukan sesi latihan rasmi di lokasi berbeza serta dinafikan akses untuk memeriksa padang sehari sebelum perlawanan.

Harimau Malaya berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya sementara Oman melakukan persiapan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Namun begitu, Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh mengatakan yang padang Bukit Jalil telah diluluskan oleh komisioner perlawanan dan aksi antara kedua-dua negara boleh diadakan seperti biasa.

Di saat penyokong Malaysia mengharapkan dendam dapat dibalas sambil mencampakkan api kemarahan kepada pengurusan stadium berkenaan rumput, peminat Oman mempunyai fokus berbeza menjelang perlawanan ini.

Sudah pasti, mereka mahu mencapai kemenangan kedua menentang Malaysia dalam pusingan kelayakan ini. Namun begitu, terdapat penyokong yang mahukan satu pemain diturunkan oleh Jaroslav Silhavy untuk perlawanan di Bukit Jalil.

Pemain tersebut adalah Hatem Al-Rushadi yang merupakan pemain tengah berusia 28 tahun. Pada perlawanan pertama di Muscat, Hatem tidak diturunkan oleh Silhavy sewaktu Oman menang 2-0.

BACA LAGI: Cuaca tak menentu, apa akan jadi pada padang Bukit Jalil sebelum jumpa Oman

1710584576899

Hatem Al-Rushadi merupakan pemain tengah Oman. — Agensi

"Hatem amat penting untuk kita," kata penyokong Oman bernama Saideen.

"Secara asasnya, Hatem Al-Roshadi merupakan asas kepada pasukan," ujar Sahil Al-Harsousi yang mengangkat pemain itu.

"Hatem Al-Roshadi dan kita akan saksikan aksinya kelak," komen Salmaa pula.

Tetapi sebenarnya, siapakah Hatem ini? Dan kenapa dia seolah-olah begitu popular dalam kalangan penyokong Oman dan mahu Silhavy menurunkannya berdepan Malaysia?

Menurut rekod, Hatem sebenarnya adalah pemain yang cuma mempunyai satu penampilan bersama Oman. Sejak dipanggil oleh bekas jurulatih Erwin Koeman pada 2019, Hatem hanya beraksi sekali untuk negaranya iaitu pada 2022 ketika mereka menewaskan Syria 2-1.

Sejak perlawanan itu, Hatem langsung tidak dipanggil menyertai skuad Oman. Setelah sekian lama, namanya dipanggil semula untuk dua aksi berdepan Malaysia dan itu telah menimbulkan keterujaan dalam kalangan penyokong.

BACA LAGI: Tak tertarik kebangkitan KDN, kesetiaan ultras Kelantan kekal buat TRW

oman (2)

Silhavy diminta untuk turunkan Hatem bertemu Malaysia. — Oman FA

Dengan Hatem tidak diturunkan pada perlawanan pertama, desakan penyokong mula memuncak untuk Silhavy memberikan minit permainan kepada pemain tengah itu berdepan Harimau Malaya.

Jika dia diturunkan, pasti ia membuatkan penyokong Oman berasa teruja untuk berdepan Malaysia. Sementara bagi Harimau Malaya, pastinya Hatem mempunyai sesuatu yang mampu memberikan masalah buat barisan pertahanan negara.

Persoalannya, adakah Hatem akan diturunkan? Kita nantikan pada perlawanan Selasa ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram