'Jurulatih pergi, 'owner' kekal', penyokong Kelantan berang kelab lepaskan Alfredo Vera ke Indonesia


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Vera meninggalkan Kelantan untuk menyertai Rans Nusatara di Indonesia. — Kelantan FC

SELEPAS mengharungi musim yang penuh derita pada 2023, Kelantan FC kini semakin sepi daripada sebarang perkhabaran.

Dengan status mereka masih belum diketahui sama ada akan beraksi dalam Liga M3 atau tidak, persiapan kelab turut seperti tidak ada sebarang perkhabaran terutamanya mengenai urusan kemasukan pemain baharu.

Pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham terus membisu. Apakah nasib The Red Warriors (TRW) untuk musim baharu kelak?

Kini, selepas lama tanpa sebarang berita, Kelantan mencipta kejutan apabila mereka melepaskan jurulatih mereka iaitu Alfredo Vera.

Pengendali dari Argentina itu dilaporkan telah terbang ke Indonesia untuk menyertai kelab divisyen satu di sana iaitu Rans Nusantara FC.

Kelab yang berada di kelompok bawahan itu telah mendapatkan khidmat Vera untuk membawa Rans Nusantara melonjak daripada kedudukan ke-13 dalam carta Liga 1 Indonesia selepas 29 perlawanan.

"Kami amat teruja untuk mengumumkan yang Alfredo Vera merupakan ketua jurulatih kami. Berusahalah sehabis baik dan semoga berjaya," kata Rans Nusantara dalam kenyataan ringkas mereka.

BACA LAGI: Baru lawan sekali tapi jurulatih Oman sudah kenal Malaysia luar dalam

BACA LAGI: Umum sasaran piala, pewaris jersi nombor 7 antara topik bakal dikupas Tan Sri Daud Bakar kepada fans Kedah

Perkhabaran tersebut nyata mengundang rasa kecewa dan marah penyokong-penyokong Kelantan yang melihat kelab mereka seakan semakin mundur.

Dengan pemergian Vera, ia membuatkan Kelantan kini hilang pemimpin untuk mengetuai para pemain bagi saingan musim ini.

"Tempoh hari, bukan main yakin pemilik Kelantan kata Vera akan kekal dengan TRW walaupun bermain di Liga M3. Alih-alih, Vera berpindah ke Indonesia dengan menyertai Rans Nusantara," kata penyokong bernama Po'Nique Sallehuddin.

"Fahamlah bila jurulatih dan pemain yang sepatutnya bersama-sama kelab tinggalkan pasukan sudah tidak layak bersaing, berkubur," ujar Belalang Tempur pula.

"Bubar sajalah Kelantan FC ni, pemain jurulatih semuanya tubik belako," komen Nik Ashraff pula.

Sebelum ini, Kelantan dilaporkan bersedia untuk mengekalkan khidmat Vera sambil menggandingkannya dengan bekas pemain jurulatih Perlis iaitu Manja Man.

Kini terpaksalah TRW mencari pengendali baharu untuk memastikan Kelantan terus 'bernyawa' pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram