Liga belum mula, Kedah kena potong 3 mata, denda RM50,000


  • Podium
  • Jumaat, 05 Apr 2024

Skuad Sang Kenari gagal melunaskan pembayaran gaji sebelum tarikh akhir ditetapkan MFL. — Facebook/KDA FC

KEMELUT gaji dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC musim lalu terus mematahkan semangat kelab itu apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pemotongan tiga mata kepada mereka.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, First Instance Body (FIB) mengenakan denda terhadap pasukan Utara tanah air tersebut selepas gagal menyelesaikannya pada waktu ditetapkan.

"KDA FC diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac, namun selepas tarikh akhir itu, kelab berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.

"FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023," katanya pada Jumaat.

Kedah dilaporkan mengalami tunggakan gaji bermula September 2023, tetapi dikatakan dalam proses penyelesaian yang membolehkan kelab itu menerima lesen kebangsaan musim depan.

BACA LAGI: Fans Hijau Kuning yakin Baddrol tak lupa tugas hakiki lepas dilantik pengurus KDA FC B

WhatsApp Image 2024-04-05 at 10.40.17 AM

KDA FC perlu menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin untuk mengelak denda lebih berat. Facebook/KDA FC

BACA LAGI: KL City dah selesai, kes FIFA KDA FC apa cerita?

Bagaimanapun, isu tersebut masih belum diselesaikan dengan badan induk bola sepak global, FIFA turut mengambil maklum masalah berkenaan.

Jelas MFL lagi, terdapat kemungkinan skuad Sang Kenari akan dihalang daripada menyertai Liga Super 2024/25 jika masih gagal membuat pembayaran penuh.

"Sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April jam 5.00 petang, maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik," tulisnya.

Selain Kedah, beberapa kelab lain turut terpalit dengan isu sama sebelum ini, termasuk Kuala Lumpur (KL) City FC yang hampir disekat untuk beraksi dalam Liga Super 2024/25.

Bagaimanapun, menurut perkembangan terkini, pasukan Lembah Klang berkenaan sudah menyelesaikannya dengan tiada lagi gaji tertunggak dalam kalangan pemain dan kakitangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram