DENGAN saingan Liga Malaysia (Liga) M secara rasminya akan berlangsung pada 10 Mei 2024, latihan pramusim merupakan elemen penting yang perlu dilakukan oleh pasukan masing-masing sebagai inisiatif mengembalikan kecergasan pemain.
Tidak dinafikan beberapa pemain akan mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan latihan ketika off season bagi membantu diri sendiri lebih bersedia untuk menghadapi kempen pramusim.
Namun, sebahagian pemain yang tidak melakukan latihan ketika off season dikehendaki memberi fokus sepenuhnya dan meluangkan lebih masa untuk mengembalikan kecergasan mereka di tahap terbaik.
Bagi membantu para pemain lebih bersedia, ada beberapa kelab Liga M sudah melakukan persiapan pramusim lebih awal daripada kebiasaan bagi mencari keserasian sesama pemain dan memastikan mereka kembali dengan kecergasan unggul.
Kempen pramusim setakat ini, pasukan seperti Perak FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu (TFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) antara yang sudah melakukan beberapa perlawanan persahabatan.
Walaupun sudah melakukan beberapa aksi pemanas badan, beberapa kelab masih mempunyai perlawanan pramusim yang bakal memberi cabaran berbeza kepada pemain namun menarik untuk jadi tontonan penyokong.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga perlawanan pramusim yang tidak boleh dilepaskan oleh penyokong bola sepak tanah air;
1) JDT pergi Eropah

JDT akan menghadapi tujuh aksi persahabatan di Sepanyol. — Facebook/JDT
Selepas menerima kunjungan dari kelab Liga 1 Thailand iaitu Police Tero dan Chonburi FC, Harimau Selatan bakal berkelana ke Eropah untuk menjalani sesi latihan pramusim di Sepanyol bermula 14 hingga 30 April depan.
Memilih Melia Villaitana Football Centre di perbandaran Benidorm di Alicante, Sepanyol sebagai pangkalan sementara, JDT akan menghadapi tujuh aksi persahabatan dalam tempoh dua minggu tersebut.
Perlawanan yang dijangka akan membabitkan beberapa kelab Eropah itu pastinya membantu juara Liga Super 10 kali berturut-turut tersebut untuk meningkatkan standard mereka sebelum Liga M membuka tirai nanti.
Sebelum ini, pasukan Selatan tanah air berkenaan sering memilih Dubai sebagai lokasi tradisi latihan pramusim mereka dan musim lepas menyaksikan JDT menentang pasukan-pasukan ternama Eropah seperti Zenit St Petersburg.
2) Derbi Utara

Perak menewaskan Abritex Niigata FC itu dengan keputusan 3-1. — Facebook/PerakFC
Tidak usah menunggu liga bermula, perlawanan derbi utara antara Perak FC menentang Penang FC bakal menemui penyokong pada Jumaat ini dengan Stadium Perak, Ipoh dipilih venue rasmi perlawanan pemanas badan berkenaan.
Aksi pemanas badan Perak sebelum ini menyaksikan The Bos Gaurus (TBG) menewaskan Abritex Niigata FC dengan 3-1 dan kemudian menang 3-0 menentang Geylang International FC.
Selepas aksi menentang dua kelab Singapura berkenaan, skuad bimbingan Yusri Che Lah akan melayan kunjung Harimau Kumbang yang baru pertama kali melakukan aksi pramusim pada tahun ini.
Walaupun tidak memburu sebarang mata mahupun trofi namun perlawanan derbi utara ini akan menjadi platform terbaik untuk kedua-dua kelab itu untuk mencari 'ramuan' terbaik dalam membentuk pasukan sebelum sepak mula Liga M bagi 2024/2025.
3) Terengganu FC menentang Negeri Sembilan

Terengganu setakat ini sudah tewas dua kali ketika persahabatan. — Facebook/TFC
Atas faktor ingin mengurangkan kos operasi pada musim ini, Terengganu FC memilih Lembah Klang sebagai lokasi pramusim mereka sebelum menjelang saingan Liga Super M musim 2024/2025 nanti.
Setakat ini, Terengganu merekodkan kekalahan 1-2 di tangan Selangor FC II dan menang besar 6-1 ketika menentang PDRM FC. Perlawanan akhir pramusim di Lembah Klang mereka akan berakhir di Paroi, Negeri Sembilan menentang skuad Jang.
Kisah pramusim Negeri Sembilan setakat ini bermula dengan langkah kiri apabila tewas mengejut 1-0 kepada Putrajaya FC sebelum Negeri Sembilan FC bangkit melakar kemenangan 5-1 ke atas pasukan amatur, Real Mambau FC.
Kemenangan dua berkenaan baru-baru ini akan memberi suntikan semangat kepada Negeri Sembilan dan Terengganu untuk tampil lebih cemerlang dalam perlawanan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
