SERING kali, istilah wonderkid akan diguna pakai dalam dunia bola sepak sama ada dalam Malaysia mahupun luar negara bagi merujuk kepada bintang yang menyerlah ketika mereka di usia muda.
Manakala, istilah late bloomer pula merujuk kepada pemain bola sepak yang tidak mencapai perkembangan dengan waktu normal dan sebaliknya melalui zaman kemuncak mereka pada usia agak lewat.
Berbanding bintang wonderkid yang sering dikesan bakat dari remaja ataupun ketika berusia awal 20-an, bakat kelompok late bloomer pula hanya benar-benar terserlah apabila menginjak usia lewat 20-an.
Arena bola sepak luar negara kita akan melihat pemain seperti Jamie Vardy yang membawa Leicester City mencetak sejarah dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris pertama kalinya pada musim 2015/2016.
Sejarah Seria A pula menyaksikan Antonio Di Natale berubah menjadi penyerang berbahaya apabila dia mencecah usia 30-an dengan memenangi gelaran penjaring terbanyak Serie A sebanyak dua kali pada musim 2009/2010 dan 2010/2011.
Kali ini, Majoriti akan menyenaraikan pemain dalam kelompok late bloomer yang berjaya dalam bola sepak tempatan;
BACA LAGI: Rakus belasah PDRM, Safawi Rasid optimis TFC tunggu masa untuk lengkap sepenuhnya
1) Darren Lok
Darren mula melonjakkan reputasinya sebagai penyerang ketika bersama Petaling Jaya City. — Facebook/SabahFC
Pemain warisan England-Malaysia, Darren Lok memulakan karier di saingan Liga Malaysia dengan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) selama empat tahun namun boleh dikatakan jarang mendapat peluang untuk menyerlah.
Selepas itu, Darren mencari angin baharu menyertai Terengganu FC (TFC) pada musim 2020 tetapi hanya tampil 38 minit sepanjang musim, selain sempat bermain tiga kali bersama pasukan TFC II demi memburu minit permainan.
Tidak kenal erti putus asa, Darren memperbaiki semula reputasinya sebagai seorang penyerang terbaik tanah air pada usia 30 tahun apabila meledak 15 gol menerusi 24 penampilan.
Sejak menyertai The Rhinos pada musim lepas, penyerang berusia 33 tahun itu turut menjadi tonggak utama Sabah FC apabila sudah mencetak 12 jaringan gol dan empat hantaran bantuan termasuk enam diledak ketika bersaing dalam kejohanan Piala AFC
2) Khuzaimi Piee
Khuzaimi boleh kembali menjadi bek tengah skuad kebangsaan sekiranya mendapat minit permainan yang memuaskan bersama Selangor. — Facebook/SelangorFC
Kemuncak karier Khuzaimi Piee ketika menyarung jersi Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim 2022 dengan dia diberi kepercayaan oleh pengendali kelab ketika itu, K. Devan untuk menjadi benteng utama di bahagian pertahanan.
Pemain kelahiran Melaka itu merekodkan 24 penampilan sepanjang semusim bersama skuad Jang dan ia merupakan rekod terbaiknya jika dibandingkan ketika bersama UiTM yang hanya tampil dalam 20 aksi.
Khuzaimi yang membantu Negeri Sembilan menghuni kedudukan keempat dalam saingan Liga Super mula mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dan akhirnya dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya pada Mac 2022 pada usia 28 tahun.
Sejak itu, prestasi pemain berkaki kidal ini sering mendapat perhatian penyokong bola sepak dan akhirnya berhasil mendapat kontrak daripada pasukan gergasi Liga Super, Selangor FC pada musim lepas.
Walaupun Khuzaimi tidak mendapat minit permainan yang mencukupi pada musim lepas bersama Selangor dengan cuma melakukan 11 penampilan selain empat kemunculan Piala FA dan Piala Malaysia namun ramai berharap agar dia kembali ke potensi terbaiknya tahun ini.
BACA LAGI: Sebelum kelab lain rasa, Kelantan dah hadap hukuman 'transfer ban' Liga Malaysia
3) Lee Tuck
Lee Tuck kini menjadi ejen hartanah di England selepas meninggalkan tanah air. — Facebook/KDAFC
Bekas pemain kebangsaan, Lee Tuck memilih Negeri Sembilan sebagai kelab tempatan disertainya dan berjaya mengumpul 20 penampilan dan mengumpul lima gol ketika skuad Jang masih berada di Liga Perdana 2017.
Prestasi tersebut berjaya mencuri perhatian Terengganu FC yang tidak menunggu lama untuk membawanya masuk, sekali gus menaikkan reputasinya sebagai antara import terbaik Liga M pada usia 29 tahun.
Kemudian dia berpindah ke Sri Pahang FC pada 2021 tetapi hanya diturunkan pada saingan Piala Malaysia susulan statusnya sebagai import yang sudah melebihi kuota di kelab tersebut.
Sebelum kembali ke England, Lee Tuck berkhidmat selama setengah musim bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dan berhasil menjaringkan lima gol serta tujuh bantuan gol dalam 15 penampilan dalam saingan Liga Super.
Walaupun berusia 34 tahun, prestasi cemerlang bersama Kedah turut memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada awal tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram