TIDAK boleh dinafikan bahawa legenda bola sepak antarabangsa, Ronaldinho merupakan salah satu nama yang dikenali dalam kalangan penyokong.
Dia yang pernah meraih pelbagai kejayaan di atas padang memiliki reputasi cukup megah dengan kelincahan dan skil dipamerkannya di atas padang tidak pernah jemu untuk ditonton.
Koleksi gelarannya juga amat mengagumkan kerana pernah menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) ketika bersama Barcelona serta Piala Dunia 2002 bersama Brazil.
Dari segi individu pula, pemain yang nama sebenarnya Ronaldo de Assis Moreira itu pernah memenangi Ballon d'Or 2006 atas pencapaiannya sepanjang tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Tidak puas tunjuk skil atas padang, Ronaldinho 'kacau' penyokong
Ronaldinho sememengnya merupakan seorang legenda bola sepak antarabangsa. — Agensi
Jadi, tidak hairanlah apabila kesemua pasukan pernah tertarik dengan khidmatnya, lebih-lebih lagi ketika dia berada di kemuncak karier.
Bagaimanapun, satu hal cukup mengejutkan pernah tercetus apabila Ronaldinho pernah meluahkan hasrat untuk beraksi di Liga Malaysia.
Harapan itu dikongsikan ketika dia hadir untuk Jelajah Trofi UCL di ibu negara pada 2018 dengan kenyataan terbabit mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong.
Meskipun dia ketika itu sudah mengumumkan persaraan, sambutan menggalakan diterimanya ketika majlis berkenaan membuatkannya cukup tertarik untuk kembali beraksi di atas padang.
Malah, Ronaldinho menegaskan bahawa dia cukup serius dengan perkara berkenaan sehingga sanggup bermain tanpa menerima sebarang bayaran gaji.
BACA LAGI: Pemain bola sepak wanita mirip Ronaldinho, fans gesa legenda Brazil lakukan ujian DNA
Ronaldinho akui teruja dengan sambutan diterima ketika tiba di Kuala Lumpur.
Kenyataan itu menerima respons baik sehingga pihak pengurusan Perak FA pernah mengatakan bahawa mereka terbuka untuk mengalu-alukan kehadiran legenda bola sepak itu.
Skuad The Bos Gaurus (TBG) ketika itu merupakan antara kelab terbaik dalam negara dengan lambakan bintang berada di bawah kendalian Mehmet Durakovic.
Mereka turut bercita-cita besar untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim tersebut dan kehadiran Ronaldinho dapat merealisasikannya.
Tetapi, hasrat itu akhirnya tidak tercapai dengan pemain Brazil itu memilih untuk kembali ke negara kelahirannya untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Skuad TBG bagaimanapun tidak terlalu kecewa atas kegagalan mendapatkan pemain berkenaan apabila mereka masih berjaya menjulang Piala Malaysia pada akhir tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram