AKSI persahabatan Terengganu FC diteruskan apabila mereka bakal berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Khamis.
Mereka yang sudah menempuhi dua perlawanan sebelum ini menentang Selangor FC II dan PDRM FC akan terus mengharungi perlawanan untuk membina tahap kecergasan pemain.
Tumpuan semestinya diberikan terhadap kelab Pantai Timur itu yang baru-baru ini menundukkan skuad Sang Saka Biru dengan keputusan 6-1 di Stadium Selayang, Selangor.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan FC pasti mahu menurunkan pasukan terbaik untuk meraih kemenangan bermakna dalam tempoh pramusim kali ini.
Mereka yang mengalami kekalahan kepada Putrajaya FC berjaya bangkit ketika berdepan kelab amatur, Real Mambau dengan ia memberi suntikan motivasi buat penyokong.
BACA LAGI: Dilepaskan Negeri Sembilan, Sri Pahang dijangka nanti ketibaan Shahrel Fikri

Skuad Jang meraih keputusan positif ketika berdepan Real Mambau FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Jadi, ujian terbesar buat skuad Jang pasti adalah dalam aksi menentang Terengganu FC dengan lawannya itu ialah kelab Liga Super pertama dihadapi dalam Liga Super.
Tugasan itu turut diakui cukup penting rekrut baharu Negeri Sembilan FC, Hadin Azman yang bagaimanapun yakin akan kemampuan pasukannya itu.
"Setelah melalui tiga perlawanan persahabatan, keserasian kami dalam padang semakin bertambah baik. Terengganu FC pula merupakan satu pasukan yang kuat.
"Ini bagus untuk kami menilai dan memperbaiki kelemahan kami sebelum liga bermula. Secara peribadi, saya sudah bersedia untuk perlawanan dan tidak sabar untuk beraksi di Paroi," katanya.
BACA LAGI: 'Legenda sebenar', CEO angkat status bintang veteran Negeri Sembilan FC lepas umum bersara

Hadin dijangka memikul peranan besar buat skuad Jang musim depan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Hadin disambar skuad Jang dari Penang FC dalam usaha pasukan itu memperkuatkan lagi barisan serangan di samping mengisi kehilangan Sean Selavaraj.
Kemasukannya dianggap cukup menarik kerana pemain berusia 29 tahun tersebut berpengalaman selain pernah beraksi dalam skuad kebangsaan.
Setakat ini, Negeri Sembilan FC hampir siap melengkapkan pasukan dengan membawa masuk beberapa import baharu, seperti An Sang-su dan Takumi Sasaki.
Bagaimanapun, pengendali baharu untuk menggantikan K Devan masih belum diumumkan dengan bekas jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz terus disebut-sebut sebagai calon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
