KELAB Liga Super, Negeri Sembilan FC mengambil keputusan melepaskan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri daripada senarai skuad mereka.
Keputusan itu diambil selepas juara Piala Malaysia 2011 itu memilih untuk membuat pembaharuan dalam skuad mereka dengan jurulatih baharu juga belum lagi diumumkan.
Menerusi laman media sosial mereka, Negeri Sembilan mengatakan yang Shahrel atau lebih dikenali sebagai Eky tidak lagi akan bersama mereka menjelang musim 2024/2025.
"Terima kasih Eky atas segala sumbangan, semangat, dedikasi dan komitmen sepanjang bersama Negeri Sembilan FC.
"Beliau tidak akan bersama skuad Jang untuk musim 2024. Eky telah menjaringkan lima gol sepanjang beraksi bersama Negeri Sembilan FC," kata Negeri Sembilan dalam kenyataan mereka.
BACA LAGI: Kejutan tak masuk akal, Tan Cheng Hoe sah tinggalkan Selangor FC
BACA LAGI: Perak hampir sah ikat ‘goal-scoring’ CB dari Brazil
Dengan pemergian Shahrel, ia membuka lembaran baharu buat Negeri Sembilan dengan tempatnya itu sudah pasti akan diisi dengan pemain baharu kelak.
Apa yang menjadi persoalan kini adalah, ke mana destinasi Shahrel selepas ini? Adakah akan kembali ke salah sebuah bekas pasukannya seperti Perak FC atau Selangor FC? Atau dia akan menyertai kelab baharu?
Shahrel dilaporkan akan berhijrah ke Pantai Timur dengan namanya kini disebut-sebut akan berpindah untuk menyertai Sri Pahang FC.
Sri Pahang mungkin menjadi destinasi pilihan buat penyerang berusia 29 tahun itu dengan ia dilihat sebagai peluang buatnya mengembalikan seri dalam kariernya yang sedikit malap ketika ini.
Hal ini kerana, kecederaan yang dialaminya ketika bersama-sama Negeri Sembilan telah menyebabkan minit beraksinya bersama skuad Jang tidak banyak pada musim lalu.
Di Sri Pahang, Shahrel berpeluang untuk bangkit semula menerusi didikan Fandi Ahmad sekali gus kembali ke tahap tertinggi prestasinya.
Namun begitu, buat masa sekarang, belum lagi ada pengumuman rasmi berkenaan ketibaan Shahrel di Stadium Darul Makmur.
Jika berjaya kembali ke puncak prestasi, tidak mustahil nama Shahrel akan kembali dalam perebutan untuk masuk semula ke dalam skuad Harimau Malaya. Ketika di puncak prestasi, Shahrel antara penyerang yang cukup tajam pernah dimiliki negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram