SELEPAS merakamkan kekalahan kepada Selangor FC II dalam aksi pra-musim yang pertama pada Ahad, Terengganu FC kembali bangkit dalam perlawanan pemanas badan kedua bertemu PDRM FC dua hari kemudian.
Berdepan Sang Saka Biru di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner berjaya merakamkan kemenangan besar 6-1 dengan mereka mendahului 4-0 pada separuh masa pertama.
Penyerang baharu Terengganu, Ismaheel Akinade mencipta hatrik sementara Nurillo Tukhtasinov, Engku Shakir dan Manny Ott menjaringkan satu gol. Bagi PDRM pula, Faith Obilor menghasilkan gol tunggal tuan rumah.
Bercakap selepas perlawanan, Safawi berasakan Terengganu semakin ampuh dari segi kualiti dan mereka akan menjadi pasukan lengkap seiring pra-musim terus berjalan.
BACA LAGI: Kembali ke Terengganu, Ott sedia jadi 'perampas' demi kukuh posisi
"Saya rasa banyak perkara positif daripada persefahaman antara satu sama lain. Saya rasa, pasukan ini akan lebih lengkap selepas beberapa lagi perlawanan persahabatan.
"Kami sudah nampak apa yang perlu dibaiki dan apa yang perlu kita teruskan. Bagi kami, kami cuma perlu teruskan bekerja dan kekalkan taktikal," kata Safawi memetik dari Balrz.tv.
Kini tinggal satu saja aksi dalam jelajah Lembah Klang skuad Penyu iaitu berdepan Negeri Sembilan FC di Paroi, Safawi mengatakan para pemain Terengganu perlu segera memahami taktikal yang diterapkan Steinbruckner.
Kata pemain Harimau Malaya itu, Steinbruckner mempunyai pelbagai corak taktikal serta tahu apa yang dimahukan dari skuadnya.
BACA LAGI: Hasbullah gembira dapat sertai Kedah tapi penyokong fikir kelab patut utamakan 'ubi'
“Banyak yang positif, pasukan ini akan lengkap selepas beberapa lagi perlawanan persahabatan.”
Safawi Rasid berpuas hati dengan persiapan pasukan Terengganu.#PlayOn pic.twitter.com/utDFdJWbmQ
— Balrz.tv (@balrztv) April 3, 2024
"Bagi saya, Steinbruckner ada banyak taktikal. Tapi pada saya, kami boleh sesuaikan diri dengan cepat sebab dia tahu apa yang dia nak.
"Kami sebagai pemain pun kena cepat sesuaikan diri sebab liga pun tak sampai sebulan (sebelum bermula). Pada saya, dengan Steinbruckner lebih menfokuskan kepada banyak melakukan larian serta memegang bola, jadi saya rasa itu tiada masalah," ujar Safawi.
Persembahan bertemu PDRM jelas lebih baik berbanding ketika berdepan Selangor II. Jelas sekali, kecergasan pemain skuad Penyu semakin baik selepas mengharungi dua perlawanan.
Jadi apabila berdepan Negeri Sembilan pada Khamis, TFC akan dilihat lebih mantap dan corak pemainan semakin tersusun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram