
HARAPAN besar diletakkan di bahu Tan Cheng Hoe ketika dia menyertai kelab Thailand, Police Tero awal Mac lalu dalam misi menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir.
Pengendali yang dikenali dengan reputasi cukup besar semasa membimbing Kedah FA dan Selangor FC itu dilihat mampu membawa mereka ke kedudukan lebih baik memasuki penghujung musim.
Bagaimanapun, setakat ini, sentuhannya semakin tidak dirasai kerana dia gagal memberi nafas baharu dengan siri kekalahan dialaminya.
Dalam satu aksi Liga Thai pada Rabu, Police Tero berdepan Khon Kaen United di tempat lawan dengan harapan amat besar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Namun, hasrat itu tidak tercapai setelah skuad kendalian Cheng Hoe mengalami kekalahan 0-4 dengan dua daripada gol dijaringkan pada masa kecederaan.
BACA LAGI: Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT
Cheng Hoe mencatatkan satu lagi kekalahan bersama Police Tero FC. — Facebook/Police Tero FC
Keputusan berkenaan menyaksikan mereka terpaksa menelan kekecewaan sekali lagi apabila mereka hanya mengutip satu mata sejak kehadiran bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
Lebih mengecewakan lagi, prestasi tidak menentu tersebut menyaksikan Police Tero kini terperosok di dasar liga dengan hanya tujuh perlawanan berbaki.
Kedudukan itu sekali gus menyukarkan hasrat penyokong dalam melihat kelab tersebut kekal di divisyen teratas Thailand dengan tiga mata diperlukan untuk berada di zon selamat.
Kekecewaan berkenaan turut dirasakan dengan ada juga beranggapan Cheng Hoe tidak lagi relevan untuk mengemudi Police Tero selepas hanya empat perlawanan.
"Masing-masing perlu bertanggungjawab atas nasib pasukan, jangan hanya biarkan ia berlalu. Musim ini adalah lebih teruk berbanding yang terdahulu," kata Nawongkorn Teerachat.
"Jurulatih ini tidak cukup bagus," kata Tang Tang Tang.
Malah, kegagalan mengubah nasib pasukan akan turut memberi kesan terhadap reputasi Cheng Hoe yang pernah diangkat sebagai antara pengendali terbaik dalam negara.
BACA LAGI: Tewas mengejut kepada Police Tero, ada yang anggap JDT simpan kuku
Cheng Hoe menikmati satu musim cemerlang bersama Selangor FC tahun lalu.
Jurulatih berusia 55 tahun itu sebelum ini mencetuskan kejutan apabila meninggalkan Selangor FC untuk menyertai Police Tero yang bergelut sama ada di dalam atau luar padang.
Manakan tidak, sentuhannya musim lalu membuahkan hasil kerana dia berjaya membawa skuad Gergasi Merah ke pentas Asia buat kali pertama dalam lapan tahun.
Penghijrahannya itu kemudiannya mencuri perhatian pelbagai pihak memandangkan dia merupakan pengendali tempatan pertama mencuba nasib dalam Liga Thailand.
Bagaimanapun, terdapat kemungkinan Cheng Hoe akan kembali mewarnai kancah bola sepak tanah air musim depan sekiranya Police Tero tersingkir ke divisyen kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram