Disebut-sebut akan sertai AMD, Sabah harap Kim Swee kekal kendali kelab


  • Podium
  • Rabu, 03 Apr 2024

Kehadiran Kim Swee membawa nafas baharu buat skuad Sang Badak dalam arena bola sepak tanah air. — Facebook/Sabah FC

DESAS-DESUS bahawa pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bakal meninggalkan kelab itu bukanlah sesuatu yang baru kerana terdapat pasukan lain pernah meminati khidmatnya.

Kelab Indonesia, Persija Jakarta sebelum ini dikhabarkan mahu mendapatkan pengendali berusia 53 tahun tersebut pada pertengahan musim, namun dia memilih untuk kekal.

Kini, terdapat pula khabar angin bahawa dia akan meninggalkan skuad Sang Badak setelah ditawarkan jawatan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pengalamannya dalam arena bola sepak tanah air cukup dimahukan untuk menentukan hala tuju akademi tersebut yang sudah beberapa tahun dipersoalkan penubuhannya.

Bagaimanapun, Sabah FC enggan melepaskan khidmatnya kerana dirasakan kehadiran Kim Swee merupakan kunci dalam menghidupkan semula pasukan berkenaan.

BACA LAGI: Mungkin dia adalah pemain terakhir kami — Kim Swee

1309080

Kim Swee merupakan salah seorang jurulatih cukup dihormati dalam negara.

Pengurusnya, Mohd Joh Wid menegaskan mereka masih menagih sentuhan bekas pengendali Harimau Muda itu untuk bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Dia mengikat kontrak selama beberapa tahun dan itulah yang kami mahukan. Kami berpuas hati dengan prestasinya.

"Sekiranya kontraknya berakhir hujung musim ini, kami akan pertimbangkan semula berdasarkan pencapaian dan Kim Swee sendiri," katanya.

Pengendali kelahiran Melaka itu dilantik sebagai pengendali Sabah FC pada 2021 untuk menggantikan jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto.

Sepanjang kehadirannya, skuad Sang Badak menjadi salah sebuah kelab terbaik Liga Super dengan berjaya membawa mereka ke saingan Piala AFC 2023.

BACA LAGI: Kim Swee ucap maju jaya buat Cheng Hoe, bangga bakat negara dapat perhatian serantau

akademi-m.d

AMD pasti mahu mendapatkan seorang yang berpengalaman untuk mengendalikan mereka.

Pencapaian itu pasti diharapkan dapat diulangi musim depan setelah pasukan Borneo itu menamatkan saingan liga di tangga ketiga buat tahun kedua berturut-turut.

"Kami sangat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaiannya bersama Sabah. Kami tidak pernah membincangkan untuk meninggalkan Sabah.

"Malah kami bincangkan macam mana nak anjurkan kejohanan empat penjuru, seterusnya memperkuatkan untuk mengharungi cabaran musim depan.

"Tidak pernah disentuh tentang pengundurannya, apatah lagi membincangkan jawatan lain dalam Liga Malaysia," katanya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram