Lantik kapten baharu antara tugas awal Nidzam Jamil perlu selesaikan di Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Nidzam Jamil perlu lantik kapten baharu untuk Gergasi Merah. — Selangor FC

PENGURUSAN Selangor FC telah membuat keputusan, mereka sepakat untuk memberikan jawatan ketua jurulatih kepada Nidzam Jamil bagi musim 2024/2025.

Dengan masa semakin suntuk sebelum Liga Super bermula, tindakan Selangor itu dilihat tepat kerana Nidzam mengetahui luar dalam skuad Selangor walaupun dia mungkin kurang berpengalaman di peringkat Asia.

Walaupun mengetahui skuad Selangor secara mendalam, tetapi masih ada permasalahan yang perlu diselesaikan oleh Nidzam sebelum musim bermula.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga perkara yang perlu diselesaikan oleh Nidzam dalam tugasan awalnya sebagai pengendali Selangor:

1. Betulkan bahagian pertahanan

Bahagian pertahanan Selangor dilihat sebagai posisi kritikal yang perlu dibaiki segera dan pelaburan besar mesti dilakukan.

Mereka telah membawa masuk Umar Eshmurodov untuk menguatkan bahagian pertahanan tengah. Akan tetapi, bahagian pertahanan tepi masih perlu diberikan perhatian.

Nidzam perlu mendapatkan pemain baharu untuk menguatkan bahagian pertahanan kanan dan kiri untuk memastikan muka tetap seperti Quentin Cheng dan Fazly Mazlan sentiasa dihambat untuk melakukan prestasi terbaik.

Fazly mungkin ada Ruventhiran, tetapi bagaimana dengan Cheng? Itulah yang Nidzam perlu selesaikan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sahur Nguyen', fans Garuda lancar mercun depan hotel pasukan Vietnam

431805836_914979650633764_2052831896384243357_n

Nidzam perlu mencari pencabar Quentin Cheng di pertahanan kanan. — Selangor FC

2. Uruskan minit pemain muda

Satu lagi yang menjadi persoalan adalah bagaimana Nidzam hendak menguruskan peranan yang bakal diberikan kepada pemain-pemain muda dalam skuad Selangor.

Selangor mempunyai beberapa pemain muda berpotensi seperti Danial Asri, Aliff Haiqal dan Izwan Yuslan untuk diberikan minit dan dikembangkan bakat mereka. Namun begitu, di depan mereka terdapat pemain-pemain handalan seperti Faisal Halim dan Ronnie Hernandez.

Nidzam perlu mencari penyelesaian supaya pemain-pemain mempunyai peranan dalam skuad utama Selangor dan dapat menjadikan 2024/2025 sebagai musim breakthrough mereka.

Mungkin keputusan untuk meminjam keluar mereka ke kelab lain bukan satu tindakan baik kerana Selangor memerlukan skuad besar untuk musim ini bagi memenuhi tuntutan kejohanan domestik dan Asia.

BACA LAGI: MFL semak status kewangan kelab tiap-tiap bulan, serius perangi isu gaji

431845726_914979540633775_1665721542663797156_n

Musim ini boleh buka peluang Danial Asri untuk lebih menyerlah. — Selangor FC

3. Lantik ketua pasukan baharu

Kini pengendali sudah dijumpai, Selangor masih tidak mempunyai ketua pasukan yang rasmi untuk musim baharu.

Pemergian Brendan Gan telah menyaksikan Safuwan Baharudin menyarung lilitan lengan untuk memimpin Gergasi Merah. Namun begitu, Nidzam masih perlu menyelesaikan perkara ini dengan melantik ketua dan timbalan ketua pasukan baharu.

430228496_909296781202051_475102829273886956_n

Faisal Halim boleh diangkat sebagai ketua pasukan Selangor yang baharu. — Selangor FC

Nama-nama seperti Faisal Halim dan Noor Al-Rawabdeh boleh diberikan pertimbangan kerana faktor senioriti mereka dalam skuad. Tetapi jika Nidzam mahu melantik pemimpin yang lebih muda, Mukhairi Ajmal dan Sharul Nazeem adalah calonnya.

Sejak berzaman, Selangor mempunyai pelbagai ketua pasukan yang ikonik. Oleh itu, ketua pasukan baharu nanti akan menggalas tugas besar membawa Gergasi Merah kembali ke puncak kejuaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram