Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT


  • Podium
  • Rabu, 13 Mac 2024

Para pemain Police Tero terbang ke Johor untuk menyertai kem latihan. — Facebook/Police Tero

MASA untuk memberikan laluan kepada bola sepak antarabangsa telah pun tiba dengan beberapa perlawanan penting di seluruh dunia diadakan.

Di Asia, tumpuannya akan terarah kepada kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan Malaysia akan turun berdepan Oman.

Fokus sememangnya tertumpu kepada perkara itu. Pada masa yang sama, apa kelab lakukan sementara bola sepak antarabangsa diadakan?

Di peringkat kelab, pemain yang tidak menerima panggilan antarabangsa akan kekal berlatih. Selalunya, mereka akan kekal saja di pusat latihan kelab dan tidak pergi ke tempat lain kerana kekangan waktu.

Namun itu tidak menjadi masalah buat kelab Thailand, Police Tero untuk melawan arus. Kelab yang sedang mengalami masalah prestasi di Liga Thailand itu telah terbang ke Malaysia bagi mendapatkan suntikan semangat bagi mengharungi baki saingan musim ini.

BACA LAGI: Bakal ikut jejak abang di JDT, kelab Lembah Klang sambar Zaquan Adha sebagai jurulatih?

BACA LAGI: Bergson-Forestieri-Arif Aiman ketuai 'top 3' trio paling gempak Liga Super 2024

Menerusi laman rasmi mereka, Police Tero mencuri masa untuk turun sebentar ke Malaysia bagi mengadakan sesi latihan di Johor.

"Para pemain dan staf Police Tero berlepas untuk kem latihan yang diadakan di Johor Bahru, Malaysia bermula 13 hingga 21 Mac, 2024," kata kelab tersebut.

Dijangka para pemain Police Tero akan ke fasiliti latihan milik Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mendapatkan semula prestasi mereka sebelum menyambung saingan domestik berdepan Muangthong United pada penghujung Mac.

Apa yang menjadi perhatian adalah pemergian Police Tero ke Johor menguatkan spekulasi mengenai hubungan antara dua kelab terutamanya selepas pemergian Tan Cheng Hoe.

Ramai yang mengatakan Police Tero adalah sebuah kelab yang menjadi 'pusat transit' kepada JDT. Perkara ini dapat disokong dengan beberapa perpindahan telah berlaku antara dua kelab.

Sebagai contoh, pemain sayap, Mohamadou Sumareh antara yang pernah 'ditransitkan' ke Police Tero sebelum ke JDT. Kini, Cheng Hoe pula berada di sana dengan khabar angin dia ke JDT bertiup kencang apabila menyertai kelab Thailand itu.

Kini dengan kunjungan Police Tero ke Johor berlaku. Adakah semakin ketara hubungan antara dua kelab ini? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram