Jangan risau tewas kepada Selangor II, 'simpan kuku' dan keserasian antara petanda positif TFC


  • Podium
  • Selasa, 02 Apr 2024

Sebahagian aksi antara pemain Sang Penyu berdepan Selangor FC II dalam perlawanan persahabatan tertutup pada Ahad. — Facebook/Terengganufc

PERLAWANAN persahabatan antara Selangor FC II berdepan Terengganu FC yang diadakan pada Ahad menyaksikan pasukan pelawat tewas di laman lawan.

Dalam perlawanan persahabatan tertutup yang berlangsung di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam, Selangor itu menampilkan beberapa wajah baharu diturunkan oleh skuad Sang Penyu.

Difahamkan, aksi pra-musim tersebut diadakan bagi menguji kecergasan dan keserasian pasukan masing-masing menjelang permulaan Liga Malaysia (Liga M) Mei nanti.

Meskipun penyokong Sang Penyu kecewa dengan aksi persahabatan tersebut namun ia bukanlah satu penanda aras yang perlu dipersoalkan memandangkan hanya perlawanan pra-musim.

Dalam pada itu, analisis Majoriti menyenaraikan tiga sebab mengapa fans Sang Penyu perlu percaya dengan sentuhan Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner.

BACA LAGI: TFC tanggung penuh bintang cedera JDT — Sabri Abas

WhatsApp Image 2024-04-01 at 21.41.14

Nik Sharif Haseefy berjaya mencetak satu gol sagu hati buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganufc

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Sang Penyu pernah mengamuk, bakar stadium gara-gara kad merah

1. Tomi sedia beri peluang pemain muda

Dalam aksi tersebut, Terengganu membariskan barisan terkuat dengan kehadiran beberapa muka baharu seperti Safawi Rasid, Manuel Ott, Ismaheel Akinade dan Matthew Steenvoorden dalam kesebelasan utama pasukan.

Jika melihat kepada babak pertama perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat berjaya mempertahankan benteng pertahanan masing-masing dengan tiada jaringan tercetak.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia yang mahu memberikan peluang kepada pemain muda beraksi pada babak kedua dilihat masih bergelut untuk mendapatkan keserasian.

Ia dapat dilihat apabila barisan pemain muda berkenaan gagal mematahkan serangan Selangor FC II yang mampu mencetak dua gol.

Malah, nasib berbeza dihadapi Sang Penyu yang hanya berjaya menyumbat satu gol pada permulaan babak kedua menerusi Nik Sharif Haseefy Nik Lazim.

2. Jaringan dicetak

Menariknya aksi tersebut, bekas pemain Selangor Nik Sharif Haseefy mencatat nama sebagai penjaring apabila pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Meskipun tewas di laman lawan namun keserasian dilihat terbentuk apabila pemain sayap Sang Penyu itu mencetak gol pada babak kedua perlawanan.

Perbezaan tersebut dapat dilihat pada babak pertama perlawanan yang mana skuad utama Sang Penyu mengalami kesukaran untuk mencetak sebarang jaringan.

Jaringan pemain berusia 26 tahun itu sekali gus membuktikan bahawa keserasian antara pemain muda skuad itu dilihat sudah terbentuk.

Jadi, ini menjadi bukti bahawa perancangan Tomislav dalam mengetengahkan tonggaknya membuahkan hasil dengan ia memberi kelebihan dari segi pemilihan pemain.

3. TFC kurang tunjuk kuku dalam pramusim

Seperti yang kita ketahui, Sang Penyu antara pasukan yang kurang menonjol dalam aksi pramusim dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Ia berikutan selepas aksi tersebut hanyalah perlawanan persahabatan pra-musim yang bertujuan mencari keserasian antara pemain.

Jika melihat kepada aksi tersebut, pasukan Sang Penyu lebih mengutamakan untuk mencari keserasian dan rentak permainan antara skuad sedia ada dengan wajah baharu pasukan itu.

Dalam pada itu, seperti musim sebelumnya Sang Penyu dijangka akan membuat perubahan besar menjelang permulaan Liga M nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram