MASA depan pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan yang sudah tidak lagi bersama Selangor FC masih lagi menjadi perbualan utama ketika ini.
Pada Ahad, kancah bola sepak disajikan dengan berita gembira apabila tonggak tengah Selangor FC itu dikhabarkan akan kembali menabur bakti bersama salah satu pasukan di Lembah Klang.
Susulan itu, Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC antara pasukan yang menjadi sebutan destinasi pemain Harimau Malaya itu.
Bagaimanapun, enggan memanjangkan isu perpindahannya musim depan, Gan tampil menjelaskan situasi sebenar dan tidak mungkin kembali menyarung jersi Merah Kuning.
Bekas kapten Selangor itu bagaimanapun mengakui masih ingin kekal bersama pasukan kendalian Nidzam Jamil untuk musim 2024/25 namun terpaksa melupakan hasratnya itu.
Menerusi satu perkongsian di laman Instagram peribadinya, Gan mendedahkan bahawa dia masih mahu menabur bakti bersama Selangor selepas membantu skuad itu bergelar naib juara Liga Super 2023.
BACA LAGI: Brendan Gan buat U-turn, kembali ke Lembah Klang?
Brendan Gan (kanan) membantu Selangor FC layak ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). — Instagram/brendangan
BACA LAGI: Tiada istilah rehat di JDT — Bergson
Namun, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu kerana pihak pengurusan Selangor tidak memberi ruang kepadanya untuk berbincang.
"Pada penghujung musim, saya berharap mempunyai peluang untuk membincangkan masa depan saya di Selangor dan meneruskan kejayaan ke 2024.
"Malangnya, pengurusan Selangor tidak memberikan saya peluang untuk berbincang atau berunding agar kekal di kelab itu," katanya.
Meskipun tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah, pemain tengah Harimau Malaya itu tetap mendoakan yang terbaik buat pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.
"Terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya selama ini, anda telah menjadi saudara dan saya doakan yang terbaik untuk masa depan anda.
"Satu penghormatan buat saya mengetuai pasukan dan kelab di dalam dan luar padang serta melakukannya dengan penuh tanggungjawab.
"Terima kasih juga kepada semua penyokong The Red Giant yang setia, anda memang hebat sepanjang saya di kelab dan saya harap anda sentiasa kekal positif dalam masa kesukaran dan kejayaan untuk membantu pasukan sebagai 'pemain ke-12' mereka.
"Saya doakan Selangor lebih berjaya di masa hadapan dan terus berkembang ke arah matlamat mereka," tulisnya lagi.
Sebelum ini, teka-teki mengenai masa depan Gan terjawab selepas sumber dalaman Majoriti mendedahkan bahawa pemain tengah Harimau Malaya itu bersetuju untuk menyertai skuad Sri Pahang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram