Rizal Ghazali gagal batal pertuduhan pukul bekas teman wanita, tetap dibicarakan


  • Podium
  • Isnin, 01 Apr 2024

Rizal Ghazali (kiri) tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin. — Sinar Harian

JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rizal Ghazali untuk menggugurkan dua pertuduhan memukul bekas teman wanitanya dan merosakkan telefon pintarnya di sebuah bilik hotel pada Jun tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal berkata sedemikian semasa sebutan kes bagi keputusan representasi Rizal atau nama sebenarnya Mohd Rizal Mohd Ghazali, 32, di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

“Pihak pendakwaan menerima arahan supaya pertuduhan diteruskan dengan perbicaraan dan pernyataan-pernyataan saksi akan dikemukakan, jadi saya mohon tarikh perbicaraan ditetapkan,” kata Siti Maryam Jamilah.

Susulan itu, Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai untuk perbicaraan seterusnya.

BACA LAGI: Tiada istilah rehat di JDT — Bergson

Rizal

Rizal (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel pada Jun tahun lepas. — Agensi

BACA LAGI: Ketiadaan Azam Azmi dirasai, keeper Penang FC sedia curi hati Garrido

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang mewakili Mohd Rizal berkata, representasi itu telah dihantar ke AGC pada 6 Februari untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Mohd Rizal.

Pada 19 Jun tahun lalu, bekas pemain kebangsaan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 38, dengan membelasahnya di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 6 pagi, 7 Jun 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon pintar milik wanita itu yang nilai kerugian dianggarkan RM4,500 di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram