[VIDEO] Tak tahan kena maki, bek Barcelona selamba 'sound' fans depan-depan


  • Podium
  • Isnin, 01 Apr 2024

Martinez (baju putih) meminta individu tidak dikenali itu berhenti daripada memberikan kata-kata kasar terhadapnya.

LUMRAH sebagai seorang pemain bola sepak untuk menerima cemuhan dan kritikan daripada penyokong sekiranya gagal memberikan aksi terbaik.

Namun, terdapat juga saat yang mana masing-masing sukar menerimanya, lebih-lebih lagi jika kata-kata kesat digunakan seseorang.

Situasi berkenaan baru-baru ini dialami bek tengah Barcelona, Inigo Martinez yang mengalami situasi terbabit ketika masih memandu berseorangan.

Dalam satu video yang tular di media sosial, pemain 32 tahun itu kelihatan turun dari sebuah Range Rovers berwarna hitam untuk mendepani seorang penyokong.

Martinez yang sedang mengenakan pakaian kasual mula memarahi individu terbabit dengan memintanya supaya tidak lagi mencemuhnya.

BACA LAGI: Pernah dipilih jadi rakan sparring kelab gergasi Sepanyol, Selangor uji kekuatan dengan JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tolak tawaran lumayan Barcelona gara-gara kemaruk nasi padang

Walaupun keadaan tegang, masing-masing masih dapat mengawal diri daripada melakukan kekasaran antara satu sama lain.

Perbalahan tersebut berlangsung untuk beberapa saat sebelum penyokong berkenaan ditarik rakannya sementara Martinez kembali ke dalam kereta miliknya.

Pemain berkenaan mencuri perhatian peminat bola sepak di Sepanyol apabila menyertai skuad La Blaugrana dari kelab seteru, Athletic Bilbao secara percuma pada musim panas 2023.

Setakat ini, dia sudah merekodkan 19 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Barcelona yang kini berada di tangga kedua La Liga dan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram