[VIDEO] Sanggup tolak tawaran lumayan Barcelona gara-gara kemaruk nasi padang


  • Podium
  • Khamis, 28 Mac 2024

Zulham kini beraksi bersama Persela Lamongan dalam saingan liga divisyen dua Indonesia. β€” Facebook/PersibBandung

SIAPA sangka gara-gara kurang gemar dengan makanan luar negara jadi punca seorang pemain Indonesia menolak tawaran untuk mengembangkan karier beraksi bersama pasukan gergasi Sepanyol, Barcelona.

Zulham Zamrun yang kini beraksi di saingan divisyen kedua Liga Indonesia, Persela Lamongan pernah mendapat tawaran untuk bermain di Barcelona B pada musim 2017 namun perpindahan tersebut tidak berlaku.

Menceritakan kembali kisahnya, Zulham mendedahkan tawaran berlaku ketika kelabnya, Mitra Kukar Kutai Kartanegara mengadakan kem latihan di Sepanyol dengan mereka berpeluang bermain beberapa siri perlawanan percubaan bersama berapa pasukan negara itu.

Sepanjang kem latihan 20 hari di Sepanyol, Mitra Kukar mengadakan aksi persahabatan menentang Atletico Madrid, Espanyol, Valencia, Barcelona B, Legenda Sepanyol dan beberapa pasukan dari liga komuniti.

Selepas perlawanan menentang Barcelona B, persembahan pemain berusia 36 tahun itu ternyata menarik perhatian pegawai pasukan kedua Barcelona sehingga ditawarkan untuk menyertai kelab berkenaan.

BACA LAGI: Bantu Selangor harungi musim panjang, Nidzam Jamil buru 2 pembantu gred Asia

BACA LAGI: Sense of belonging fans Selangor dipuji penyokong Sri Pahang

"Di bilik persalinan, saya dipanggil oleh Boss Oni (Roni Fauzan). Ketika itu, Boss Oni merupakan pengurus Mitra Kukar. Boss Oni memberitahu bahawa Barcelona B menginginkan khidmat saya.

β€œDia beritahu, jika berminat dengan tawaran, mereka akan membuat kontrak dengan Barcelona B. Boss Oni cadang untuk terima tawaran dan setiap bulan akan memberi saya duit perbelanjaan," katanya ketika ditemu bual podcast, Vivagoal Indoensia.

Malangnya, peluang keemasan itu disia-siakan oleh Zulham kerana tidak selesa dengan suasana Sepanyol terutama makanan yang menyebabkan dia memilih untuk menolak tawaran tersebut.

Penyerang sayap kanan itu menambah bahawa dia lebih memilih menjamu nasi padang daripada makan hidangan Sepanyol yang tidak menepati seleranya.

Selepas bertahun-tahun berlalu, bekas pemain kebangsaan Indonesia itu menyedari keputusannya menolak Barcelona B adalah satu perkara yang salah dan menyesal dengan keputusannya itu.

Meskipun tidak berkelana di Sepanyol, Zulham sukses dengan kerjaya di Indonesia apabila pernah menjuarai Piala Presiden 2015 bersama Persib Bandung dan johan Piala Indonesia bersama PSM Makassar. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram