TEMPOH pertengahan tahun 2024 bakal menjadi detik yang mencabar buat badminton Malaysia kerana akan ada dua kejohanan utama bakal diadakan.
Bulan Mei bakal menyaksikan kejohanan elit badminton Piala Thomas dan Piala Uber akan diadakan di China sambil temasya Sukan Olimpik di Paris, Perancis akan diadakan sekitar Julai hingga Ogos.
Dengan tempoh yang dekat antara kejohanan-kejohanan elit tersebut telah memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bijak menguruskan para pemain daripada mengalami kecederaan.
Dalam erti kata lain, BAM perlu mengorbankan satu kejohanan supaya para pemain boleh beraksi dalam pertandingan yang lebih signifikan buat mereka.
Sebagai contoh, pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah berkemungkinan besar tidak akan mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala Uber atas faktor keputusan BAM.
BACA LAGI: Bola sepak Ramadan di Gaza berubah angkara perang dilancarkan Israel
Gandingan Pearly-Thinaah sebelum ini mengalami masalah kecederaan. — Agensi
BACA LAGI: Gordic, Safawi dan Jalil boleh jadi rekrut paling bernilai untuk kelab masing-masing
Menerusi keputusan yang dibuat oleh pengarah kejurulatihan kebangsaan, Rexy Manaiky, mereka sedang meneroka peluang untuk merehatkan pasangan beregu wanita itu agar mereka tampil segar di Sukan Olimpik kelak.
Berpotensi untuk tidak mewakili negara di kejohanan berprestij seperti Piala Uber, Pearly mengatakan yang dia menyerahkan segalanya kepada Rexy untuk menentukan nasib mereka.
"Ia adalah keputusan jurulatih. Bagi saya, apa saja keputusan ada kebaikannya.
"Jika kami pergi (ke Piala Uber), mendapat suasana kejohanan dan merasai tahap kompetitif ada baiknya. Jika tidak pergi, kami ada lebih banyak masa untuk berlatih di Malaysia.
"Kami melihat kepada pelbagai faedah dalam kedua-dua situasi," katanya.
Tambah Pearly lagi, jika tidak mewakili negara ke Piala Uber, dia dan Thinaah dapat melakukan persiapan lebih rapi untuk Sukan Olimpik yang merupakan sasaran paling utama pada tahun ini.
Walaupun berpotensi untuk tidak ke Piala Uber, tetapi pasangan beregu ini akan tetap menyertai Kejohanan Asia yang akan diadakan pada 9 hingga 14 April di China.
Mereka akan berdepan wakil Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagara di pusingan pertama. — THE STAR/S.SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram