Gordic, Safawi dan Jalil boleh jadi rekrut paling bernilai untuk kelab masing-masing


  • Podium
  • Sabtu, 30 Mac 2024

Dari kiri: Gordic, Jalil dan Safawi merupakan tiga nama yang mampu memainkan peranan penting buat kelab masing-masing.

JENDELA perpindahan kali ini menyaksikan hampir kesemua pasukan membuat rombakan dalam misi memperkuatkan skuad untuk saingan akan datang.

Selain membawa masuk pemain lokal, mereka turut membawa masuk import baharu yang dilihat sesuai dengan taktikal dan bajet pasukan.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan antara yang paling aktif dalam misi menjadi salah sebuah kelab terbaik di Asia.

Meskipun sudah memiliki skuad serba lengkap, beberapa wajah baharu masih disambar dengan rata-ratanya ialah pemain import.

Terengganu FC yang melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia turut membuat perubahan besar-besaran setelah hanya berada di kedudukan keenam Liga Super.

BACA LAGI: 'Berguru' dengan Hector Bidgolio, Aidil Zafuan bangga kekal jadi keluarga JDT

2225781

Terengganu FC dan JDT merupakan dua kelab yang melakukan rombakan kali ini. Facebook/Terengganu FC

Dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid merupakan antara nama besar yang disambar dengan mereka boleh menambah baik jentera serangan pasukan.

Tidak lupa juga, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berdepan isu kewangan turut melakukan rombakan dalam misi melayakkan diri ke pentas Asia.

Namun, persoalannya, siapakah dalam kalangan rekrut baharu ketiga-tiga kelab itu bakal memainkan watak penting buat skuad masing-masing?

Meskipun mereka masih belum beraksi, penilaian awal masih boleh dibuat berdasarkan keperluan mereka di posisi tersendiri di kelab baharu.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini merupakan pemain disambar yang bakal membawa nafas baharu buat JDT, KDA FC dan Terengganu FC musim depan.

1. JDT - Jalil Elias

Pemain pertama yang menyertai skuad Harimau Selatan ialah bekas kapten San Lorenzo, Jalil Elias yang cukup diperlukan kelab tersebut.

Profil permainannya membuatkannya seorang yang unik kerana membolehkan jaguh bola sepak tanah air itu melakukan serangan dalam dimensi berbeza.

Nilai pasarannya yang mencecah RM15.3 juta (€3 juta) turut menaikkan nilai pasaran JDT yang bercita-cita besar untuk menempa nama di peringkat lebih tinggi.

BACA LAGI: [VIDEO] JDT baik hati, beri peluang ejen bebas guna fasiliti demi cari majikan baharu

431334714_284861294482118_7406087697753975114_n

Jalil merupakan pemain paling bernilai dalam Liga Malaysia ketika ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan rekod terdahulu, pemain kebangsaan Syria tersebut merekodkan 52 penampilan sepanjang tahun lalu, termasuk dalam saingan Piala Asia.

Statistik itu menunjukkan Jalil mampu memikul peranan penting buat skuad Harimau Selatan sepanjang musim kerana dia tidak berdepan sebarang isu kecergasan.

Malah, keengganan penyokong kelab lamanya untuk menyaksikan dia pergi turut menjadi bukti bahawa JDT bakal memiliki seorang pemain tengah berkualiti.

Jadi, Jalil boleh dilabel sebagai rekrut yang mampu memainkan peranan cukup penting buat kelab Selatan tanah air tersebut musim depan.

2. Terengganu - Safawi Rasid

Terengganu FC merupakan antara pasukan yang membuat rombakan terhadap import setelah pemain terdahulu kurang sesuai dengan perancangan pengendali, Tomislav Steinbruckner.

Ismahil Akinade, Matthew Steenvoorden serta Manuel Ott merupakan antara yang disambar dengan mereka diharapkan mampu meningkatkan kualiti skuad Sang Penyu.

Tetapi, melihat kepada rekrut pasukan, Safawi dijangka memainkan peranan paling penting dalam misi kelab Pantai Timur itu kembali ke kemuncak.

430782970_393962900011817_5315608814681465413_n

Safawi memilih untuk pulang ke negeri kelahirannya secara pinjaman dari JDT. Facebook/Terengganu FC

Kebolehannya untuk beraksi dalam pelbagai posisi sudah cukup untuk membolehkannya berada dalam pasukan dengan lebih kerap berbanding rekrut lain.

Selain itu, pengalamannya yang pernah diangkat sebagai pemain terbaik negara pasti diharapkan mampu diulangi jika diberikan peluang.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kemungkinan Tomislav mampu menggunakan pemain berusia 27 tahun tersebut dengan terbaik selepas masing-masing pernah bekerjasama di T-Team sebelum ini.

Bagaimanapun, isu kecergasan yang dialami Safawi ketika tahun-tahun akhir bersama JDT dikhuatiri akan berulang, sekali gus mengehadkan peluangnya dalam pasukan.

3. KDA FC - Milos Gordic

Kemelut kewangan tidak menghalang Kedah untuk membawa masuk nama-nama baharu, termasuk beberapa pemain import berprofil tinggi.

Sukhrob Nurullaev, Habib Haroon serta Sony Norde merupakan wajah baharu yang disambar dengan latar belakang mereka cukup mengujakan.

Tetapi, tumpuan masih diberikan kepada penyerang bertubuh besar, Milos Gordic yang memiliki karier kurang memberangsangkan, seperti mana dikatakan rata-rata penyokong.

432995752_452960610418455_912457141523237304_n

Gordic (tiga dari kanan) memiliki struktur fizikal cukup cemerlang. Facebook/KDA FC

Rekod jaringannya yang mengecewakan serta statusnya sebagai ejen bebas sebelum ini membuatkan ramai pihak mempersoalkan keputusan mendapatkan pemain itu.

Namun, pemerhatian awal mendapati Gordic bakal memainkan peranan penting buat skuad Sang Kenari yang sudah memasang cita-cita besar ketika ini.

Struktur fizikalnya pasti akan membuatkannya sukar dibendung pertahanan lawan yang sekali gus membuka ruang buat seorang lagi penyerang, Syafiq Ahmad.

Malah, karakternya yang cukup positif akan menaikkan lagi semangat penyokong Hijau Kuning yang terpalit dengan kekecewaan sepanjang tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram