[VIDEO] Padah pijak ‘net’, bintang tenis Poland pecah raket sendiri


  • Podium
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Hurkacz menghentak raketnya ke lantai gelanggang selepas melakukan kesilapan menyentuh jaring. — Agensi

DALAM setiap permainan atau sukan, semuanya mempunyai peraturan yang telah ditetapkan untuk para pemain mematuhinya.

Baik dalam permainan berpasukan seperti bola sepak dan ragbi, sukan yang hanya dimainkan secara individu seperti tinju serta tenis juga ada peraturan.

Dalam permainan tenis, terdapat beberapa peraturan yang pemain perlu patuh berkenaan jaring atau net di tengah-tengah gelanggang.

Sebagai contoh, jika satu pemain memukul bola lalu ia tersangkut jaring, mata akan diberikan kepada pihak lawan. Malah, ia turut menjadi kesalahan jika seorang pemain membiarkan raket mereka melepasi jaring dan berada dalam gelanggang lawan walaupun sedikit.

Satu lagi kesalahan yang tidak boleh dilakukan adalah pemain tidak boleh menyentuh jaring ketika bermain. Tidak kira menyentuhnya menggunakan raket atau tangan, ia tetap menjadi satu kesalahan.

Tetapi, lain pula ceritanya dengan pemain dari Poland iaitu Hurbert Hurkacz. Dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Miami Open di Amerika Syarikat bertemu Grigor Dimitrov dari Bulgaria, Hurkacz telah terlibat dalam kontroversi apabila dia secara tidak sengaja memijak jaring ketika cuba membalas pukulan Dimitrov.

BACA LAGI: Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia

BACA LAGI: Sasar top 6, kapten Perak optimis taruhan muka baharu boleh bantu capai KPI

Pukulan tersebut berjaya untuk memerangkap Dimitrov namun ia telah dinafikan oleh pengadil perlawanan yang mengatakan Hurkacz telah melakukan kesalahan yang disebut sebagai "touch" merujuk kepada perbuatan menyentuh jaring.

Hurkacz yang tidak percaya matanya ditarik oleh pengadil kemudiannya bertindak agresif dengan mencampakkan raketnya ke lantai gelanggang kerana berangkan keputusan tersebut.

Ibarat 'marahkan nyamuk, kelambu dibakar', insiden itu nyata mengubah momentum perlawanan kerana ia terjadi sewaktu tie-break ketika set penentuan. Kesilapan Hurkacz itu telah membuatkan Dimitrov memperoleh mata lalu mampu bergerak untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 3-6, 6-3, 7-6.

Hurkacz pastinya kecewa dengan apa yang terjadi kerana hasil kesilapan sendiri, dia gagal mara ke suku akhir kejohanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram