Tak cukup di Kelantan, Apek terus dahagakan kejayaan bersama Sang Badak


  • Podium
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Apek terus beraksi dengan cemerlang bersama skuad Sang Badak meskipun usianya sudah semakin lanjut. — Facebook/Sabah FC

REPUTASI Khairul Fahmi Che Mat sebagai legenda bola sepak tanah air tidak lagi perlu dipertikaikan melihat kepada pencapaian penjaga gol ternama itu sepanjang kariernya.

Dia yang menempa nama sebagai antara pemain terbaik di posisinya bersama skuad The Red Warriors (TRW) pernah meraih pelbagai kejayaan bersama kelab Pantai Timur itu.

Selain itu, kebolehan serta persembahan menakjubkan yang dipamerkan di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah seorang penjaga gol terbaik negara.

Bagaimanapun, rekod cemerlang terbabit masih belum cukup untuk pemain berusia 35 tahun itu yang masih bercita-cita besar memasuki penghujung kariernya.

Dia yang kini beraksi untuk Sabah FC menegaskan hasratnya dalam membantu kelab Borneo tersebut menamatkan kemarau kejuaraan dihadapi sejak menjuarai Liga Perdana lima tahun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Sempena hari jadi, fans imbau semula zaman kegemilangan Apek

WhatsApp Image 2024-03-29 at 1.07.15 PM

Koleksi kejayaan Apek bersama skuad TRW cukup menakjubkan. Agensi

Namun, dia juga melihat kempen skuad Sang Badak dalam Piala AFC musim lalu merupakan langkah awal dalam meraih lebih banyak kejayaan di dalam dan di luar padang.

“Bagi saya sendiri, walaupun kita tidak dapat ke peringkat seterusnya, tapi untuk sekian lama pasukan Sabah tidak bermain di Piala AFC, saya rasa itu adalah satu prestasi yang boleh dibanggakan.” jelas Khairul Fahmi.

Dalam pertandingan tersebut, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menempah slot ke separuh akhir Zon Asean sebelum tewas kepada pasukan Australia, Macarthur FC.

Kekalahan itu menyaksikan kemaraan Sabah FC di pentas Asia terhenti, namun rata-rata penyokong masih berpuas hati dengan prestasi pasukan yang sudah lama tidak melangkah ke pertandingan berprestij itu.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Sabah tetap di hati', Apek tolak saranan main bersama Terengganu

khairul_fahmi_1-800x445

Khairul Fahmi merupakan salah seorang penjaga gol terbaik pernah dilahirkan negara. Agensi

Tambah Khairul Fahmi lagi, keputusan kelab itu untuk tidak melakukan rombakan besar-besaran masih membawa manfaat tersendiri menjelang musim baharu.

"Saya rasa ia merupakan satu kebaikan untuk pasukan sebab tidak ramai pemain yang akan keluar dan masuk,” katanya.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek dijangka memainkan peranan penting buat skuad Sang Badak musim depan meskipun terdapat saingan hebat daripada Damien Lim.

Pengalaman serta ketangkasannya merupakan aset utama yang terus didambakan Kim Swee dalam memastikan kelab tersebut mampu meraih pencapaian lebih bermakna. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram