[VIDEO] Kepala berbalut hingga risiko ACL, 3 pemain JDT jadi 'korban' kekalahan Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 27 Mac 2024

Azam Azmi (jersi no.5) dikhuatiri mengalami kecederaan ACL angkara padang teruk SNBJ selepas aksi berdepan Oman pada Selasa. — Facebook/FAM

MALAYSIA gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Oman aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Babak pertama perlawanan tidak menyebelahi pasukan kebangsaan apabila kurang melakukan percubaan, selain insiden kecederaan menimpa pertahanan kanan, Azam Azmi Murad dan kad kuning dilayangkan Syihan Hazmi pada ke-46.

Pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan ketika ingin merebut bola dari salah seorang pemain Oman sehingga menyebabkan kaki kirinya terseliuh dan terpaksa diusung keluar seawal minit ke-25.

Kehilangan pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akhirnya terpaksa diganti oleh pertahanan Sabah FC, Daniel Ting untuk membantu menutup kelompangan bahagian bek kanan pasukan.

Episod malang Harimau Malaya tidak terhenti di situ apabila keampuhan benteng negara tidak bertahan lama apabila Oman memperoleh sepakan penalti selepas Ahmad Syihan menjatuhkan Muhsen pada minit ke-46.

BACA LAGI: Mula keluar zon selesa, pakar saran Harimau Malaya cipta budaya 'winning habit'

WhatsApp Image 2024-03-26 at 23.06.57 (1)

Kesebelasan Harimau Malaya menentang Oman. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Harimau Malaya diharap tak buat kesilapan mudah, bolos gol awal

Peluang sepakan penalti diberikan pengadil perlawanan, Ko Hyung-jin disempurnakan Omer Al Malki yang kemudian meletakkan Oman di depan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua perlawanan, taktikal Kim Pan-gon dilihat lebih berhasil dengan pelbagai percubaan demi percubaan dilakukan oleh barisan pemain di bahagian serangan negara.

Pada minit ke-60 pula, insiden kecederaan menimpa kepala Arif Aiman Hanapi berlaku ketika perebutan bola tinggi sehingga memaksa Pemain Paling Bernilai (MVP) 2023 berkenaan bermain dengan kepala berbalut.

Penghujung babak perlawanan akhirnya menyaksikan Mohammed Al-Ghafri menggandakan jaringan dan secara tidak langsung mengesahkan kemenangan buat Oman.

Melihat reaksi di media sosial, ramai penyokong rata-ratanya khuatir jika Azam Azmi terpaksa menderita anterior cruciate ligament (ACL) dengan ada juga yang menyalahkan keadaan padang menjadi punca kecederaan.

"Habislah Hans Isaac (Pengerusi baharu Perbadanan Stadium Malaysia, Datuk Hans Isaac). Azam Azmi mungkin boleh ACL. Malaysia tidak boleh main possession football, padang tadi dah tercabut. Apa lagi alasan dia nak bagi," kata penyokong, Hazim Hafidzul.

"Korban pertama padang Azam Azmi. Harap-harap bukan ACL lah," tambah penyokong Harimau Malaya, Nox.

"Arif Aiman main sampai kepala berbalut. Kasihan betul MVP kita," bagi penyokong Malaysia, Azharaizat.

Kekalahan tersebut meletakkan skuad kendalian Pan-gon di tangga ketiga Kumpulan D selepas empat perlawanan dengan dibezakan tiga mata dari tiga pasukan teratas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram