DUGAAN demi dugaan terpaksa dialami Kelantan FC musim 2023 apabila mereka berdepan satu tahun yang cukup mendukacitakan di dalam dan di luar padang.
Kegagalan pihak pengurusan untuk membayar gaji pemain pada waktu ditetapkan menyebabkan kesemua daripada mereka memilih untuk tidak mempamerkan aksi terbaik setiap kali diturunkan.
Situasi menjadi semakin parah setelah majoriti daripada pemain senior memilih untuk meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) demi kelangsungan hidup masing-masing.
Meskipun terpalit dengan kontroversi yang seolah-olah belum menemui titik noktah, penyokong The Red Warriors (TRW) bagaimanapun mahu melupakan seketika momen pahit tersebut.
BACA LAGI: Selain intai import musim depan, keeper JDT, KL City FC ada potensi ke Perak FC
Apek kini menabur bakti bersama pasukan yang berpangkalan di Borneo. — Instagram/Sabahfc
Perkara itu dilihat menerusi satu perkongsian video di laman penyokong di Facebook, Kelantan-Pride and Soul yang mengimbau kembali aksi-aksi bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Meskipun tidak dinyatakan secara langsung tujuan video tersebut namun peminat tempatan seperti sudah dapat menjangkakan bahawa video itu ditujukan kepada penjaga gol legenda Kelantan FC sempena ulang tahun kelahirannya pada 7 Januari.
Dalam video tersebut memaparkan antara koleksi aksi menarik berjaya ditangkap kemas oleh Khairul Fahmi atau dikenali dengan jolokan Apek ketika menabur bakti bersama pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong setia TRW memuji aksi persembahan yang ditampilkan oleh Apek setiap kali diberi kepercayaan untuk menjadi individu akhir pasukan.
"Rindu zaman kegemilangan TRW. Dulu kita ada keeper, defend, tengah dan penyerang yang cukup di segani seluruh kelab di Malaysia. Tapi apa yang berlaku sekarang memang mengecewakan peminat bola sepak di Kelantan. Di mana silapnya pun tak tahu," kata Mohd Hazrey Husman.
"Musim-musim TRW di puncak kegemilangan suatu ketika dahulu," kata Ebin S.
"Walau tidak terlalu tinggi dan fizikalnya biasa, tapi reflek dan keberanian dia memang padu," kata Iskandar Idris.
"Bagi aku, paling padu setakat ni keeper Malaysia ialah Apek. Apek the best," kata Amin Jalil.
Untuk rekod, Apek yang kini merupakan penjaga gol Sabah FC pernah dua kali memenangi gelaran Liga Super, dua kali bergelar juara Piala Malaysia selain turut bergelar juara berganda Piala FA sepanjang bersama Kelantan dari 2009 hingga 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram