Dunia perhatikan tindakan saman Rudiger demi keadilan pemain berpuasa


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Rudiger kini menjadi tumpuan media Eropah selepas kontroversi mengaitkannya dengan organisasi keganasan.

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

“ISYARAT yang saya lakukan ini dipanggil jari tauhid. Dalam Islam, ini dianggap satu simbol perpaduan dan keunikan Tuhan,” kata pemain pertahanan Jerman dan Real Madrid, Antonio Rudiger, dalam temu bual terbarunya dengan akhbar Jerman, Bild.

“Isyarat ini digunakan dengan meluas oleh umat Islam di seluruh dunia. Dan ia baru diklasifikasikan oleh Kementerian Dalam Negeri (Jerman) sebagai tidak bermasalah beberapa hari lalu,” tambahnya.

Rudiger bersetuju memberi temu bual itu untuk meluangkannya kesempatan menjelaskan isyarat jarinya itu yang boleh membawa kepada pelbagai interpretasi silap.

Malah, pemain itu pada awal minggu ini telah memfailkan aduan kepada Pejabat Pendakwaraya Berlin terhadap seorang wartawan, Julian Reichelt, kerana mengaitkan isyarat yang dilakukannya itu dengan kumpulan pengganas ISIS.

BACA LAGI: Pemain berpuasa tidak terhindar provokasi dalam perlawanan

WhatsApp Image 2024-03-29 at 8.27.26 AM

Isyarat tangan Rudiger disalah erti pelbagai media di Eropah. Instagram/Antonio Rudiger

“Sebagai seorang Muslim yang taat, saya melaksanakan kepercayaan saya. Tapi saya menjarakkan diri daripada sebarang bentuk ekstremisme dan apa saja tuduhan Islamisme. Keganasan dan terorisme sama-sekali tidak boleh diterima. Saya berjuang untuk keamanan dan toleransi.

"Dalam pada itu, saya harus akui disebabkan kekurangan perhatian, saya telah memberi pihak-pihak ketiga peluang untuk menyalahtafsirkan hantaran saya (melalui platform X) itu dengan tujuan untuk memcah-belahkan.

“Tapi saya tidak akan menawarkan satu platform untuk berpecah-belah yang mendorong saya membuat satu kenyataan jelas selepas dua perlawanan antarabangsa kami.

“Pada masa yang sama, saya tidak membenarkan diri saya daripada dihina dan direndah-rendahkan sebagai seorang Islamis. Kerana itulah, saya putuskan untuk buat aduan. Saya akan sentiasa mempertahankan diri saya dengan tegas,” sambungnya.

Selasa lalu, laman dw.com melaporkan Rudiger dan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) telah melancarkan prosiding undang-undang terhadap seorang bekas pengarang akhbar yang menuduh pemain itu membuat isyarat menyokong ekstremisme Islamik dalam satu hantaran media sosial berkaitan Ramadan.

BACA LAGI: Tidak seperti Perancis, Liga Australia luangkan rahmat buat pemain Muslim

_methode_times_prod_web_bin_1dc8b50c-84d7-11eb-9186-403d3ffc3950

Reichelt menganggap isyarat Rudiger dikaitkan dengan keganasan. Agensi

Pada permulaan bulan mulia itu 11 Mac lalu, Rudiger membuat satu hantaran imejnya melutut di atas sejadah dengan berjubah dan berkopiah putih dengan jari telunjuk kanannya dihalakan ke atas dengan kapsyen: “Ramadan Mubarak kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Moga-moga Yang Maha Esa menerima puasa dan ibadah kita.”

Dua minggu selepas itu, apabila Rudiger dinamakan dalam kesebelasan permulaan Jerman dalam kemenangan 2-0 ke atas Perancis di Stadium Groupama, Lyon, Ahad lalu, Reichelt – bekas pengarang akhbar Bild – membuat dakwaan menerusi platform X bahawa isyarat jari yang dilakukan Rudiger itu dilihat cenderung kepada isyarat Islamis.

“Islamisme dalam kesebelasan permulaan Jerman petang ini,” kata satu hantarannya, menyusulinya dengan satu siri hantaran lain mengenai isyarat itu yang didakwa mempunyai konotasi ekstremis.

Rudiger dan DFB mengambil tindakan Isnin lalu, dengan pemain berusia 31 tahun itu memfailkan aduan kepada Pendakwaraya Berlin berkaitan fitnah, menghasut serangan balas dan kebencian. DFB pula melaporkan perkara itu kepada Unit Pusat Menyekat Jenayah Internet (ZIT) di Frankfurt.

Reichelt, yang dipecat Bild pada Oktober 2021 di tengah-tengah dakwaan membuli dan mendera staf wanita, mempertahankan dakwaannya terhadap Rudiger: “Isyarat jari ini diguna pakai oleh pengganas sepanjang dua dekad lalu. Ia telah menjadi isyarat ISIS dan pembunuh Islamis di merata dunia.

D2ZG9pMX4AEMnTX

Isyarat tangan yang sering digunakan organisasi pengganas ISIS sejak beberapa tahun lalu. Agensi

“Sesiapa yang menyebarkannya kepada khalayak secara sengaja menunjukkan satu isyarat fanatisme. Ia bukannya satu isyarat tidak bersalah dan spiritual.”

Namun, berlawanan dengan dakwaannya itu, Kementerian Dalam Negeri Jerman memberitahu agensi berita dpa pada Selasa: “Isyarat jari tauhid ini dianggap sebagai satu simbol perpaduan dan keunikan Tuhan dalam Islam. Isyarat ini adalah satu kelaziman dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira kumpulan-kumpulan Islamis turut menyalahgunakannya untuk kepentingan mereka.”

Ahli politik, pakar-pakar dan pengulas pula memberi reaksi bercampur-baur. Ahli Parlimen Jerman yang juga jurucakap Green Party, Lamya Kaddor, berkata isyarat itu diamalkan oleh umat Islam.

“Sebagai contoh, jari telunjuk kanan boleh dinaikkan dalam solat. Dalam apa keadaan pun, ia pastinya bukan menggambarkan idea Islamis.”

mn7

Ahmad Mansour menyangkal dakwaan kononnya Rudiger dikaitkan dengan gerakan ekstremisme. Agensi

Pakar ekstremisme Jerman-Israel-Arab, Ahmad Mansour, turut mempertahankan bahawa jari tauhid adalah satu isyarat keagamaan yang tebal dan asasnya langsung tiada-mengena dengan ekstremisme.

“Tapi kita tinggal pada waktu di mana imej-imej memainkan peranan lebih besar daripada sebelumnya. Pengganas ISIS juga telah menggunakan isyarat ini selama bertahun-tahun, termasuk ketika melaksanakan hukuman bunuh dan pancung.

"Antonio Rudiger tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya tapi saya jangkakan dia turut buat penjelasan bagaimana ia patut ditafsirkan di media sosial.

“Buat ramai orang muda di luar sana, agama ini yang mereka kongsi dengannya (Rudiger) adalah bahagian penting daripada identiti mereka... tapi imej ini tidak menjauhkan ia daripada Islamisme,” katanya lagi.

Dunia sedang memerhatikan. Dengan Islamofobia semakin berleluasa, kesudahan kepada pertikaian terbaru ini dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam yang menuntut rasa hormat dan keadilan buat pemain yang berpuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram