Tidak seperti Perancis, Liga Australia luangkan rahmat buat pemain Muslim


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 24 Mac 2024

Bagi pemain seperti Auglah (depan), perlawanan yang berlangsung sempena Ramadan tahun ini akan jauh berbeza dan lebih baik daripada tahun lalu. — Agensi

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

IA adalah satu rahmat, kata pemain kelab Liga-A Australia, Macarthur FC, Ali Auglah, kerana sedikit kelonggaran peraturan sempena Ramadan kali ini yang meluangkan masa untuk pemain beragama Islam berbuka puasa ketika perlawanan masih berlangsung.

Liga-A telah memperkenalkan satu polisi baru membenarkan pemain Muslim berbuka puasa sebentar dalam perlawanan, yang rata-rata dialu-alukan pemain yang menganggap inisiatif itu bukan sekadar untuk melepaskan dahaga tapi menyerlahkan rasa hormat.

Sesungguhnya, bagi pemain seperti Auglah, perlawanan yang berlangsung sempena Ramadan tahun ini akan jauh berbeza dan lebih baik daripada tahun lalu.

Penyerang berusia 22 tahun itu menyifatkan inisiatif baru berkenaan sebagai 'signifikan'.

“Saya fikir ia satu keputusan yang amat penting dalam bola sepak, terutama kepada pemain beragama Islam,” katanya seperti dipetik SBS Arabic24.

Bagi pemain seperti Auglah, Ramadan bukan saja bulan suci tapi ia juga mencabar, dengan menuntut pemain beraksi tanpa secukup tenaga dan hidrasi dalam sukan fizikal itu.

BACA LAGI: Habib Haroon sudah touchdown di Alor Setar? Senarai skuad Kedah hampir lengkap

WhatsApp Image 2024-03-24 at 05.35.36

Ali Auglah mengatakan bahawa Ramadan bukan saja bulan suci tapi ia juga mencabar. — Agensi

Menurut Ketua Bersama Pemain Bola Sepak Profesional Australia, Beau Busch, semakin kerap didengar desakan untuk memperkenalkan polisi bagi melindungi pemain berpuasa akhir-akhir ini.

“Kumpulan pemain kami mewakili pelbagai latar belakang dan agama anutan dan kami perlu memastikan suasana di tempat kerja membuat mereka berasa mendapat sokongan. Inisiatif seperti ini adalah satu langkah ke hadapan,” tambahnya.

Pemberhentian 90 saat yang diluangkan itu ditetapkan apabila bola terkeluar daripada permainan dalam kedudukan neutral menyerupai peraturan dalam liga lain seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.

Kedua-dua pihak kelab dan pegawai perlawanan boleh meminta pemberhentian khas itu selewat-lewatnya 90 minit sebelum sepak mula perlawanan.

“Sebutir buah tamar dan tiga teguk air mencukupi untuk berbuka puasa,” jelas Auglah, yang berada di bangku pemain simpanan ketika pasukannya menyingkirkan Sabah FC 3-0 dalam separuh akhir peringkat zon Piala AFC di Stadium Campbelltown Sports, 13 Februari lalu.

Penyerang berusia 22 tahun kelahiran Auburn, New South Wales itu yang sudah menjaringkan tiga gol musim ini, berkata sambil berpuasa baik untuk tubuh yang sihat, menguruskan diri ketika tempoh tidak berpuasa juga penting buat pemain bola sepak.

“Kami perlu mengambil secukup makanan berkhasiat dan minuman, terutama di antara waktu iftar dan sahur,” katanya.

Rakan sepasukannya, Abdelelah Faisal berkata, pemberhentian untuk berbuka puasa dalam perlawanan bermaksud lebih daripada sekadar satu kesempatan untuk melepaskan dahaga dan mengalas perut. Ia juga satu perakuan bahawa pemain Muslim dihormati sambil mereka memenuhi tuntutan agama.

Abdelelah

Abdelelah Faisal berkongsikan bahawa Ramadan memberinya kekuatan spiritual. — Agensi

Penyerang berusia 18 tahun itu yang telah berpuasa lebih 10 tahun berkata, pada ketika Ramadan memberinya kekuatan spiritual, pemberhentian permainan akan banyak membantu menyegarkan tubuh.

Inisiatif baharu dalam Liga-A itu juga meyakinkan pemain Muslim bahawa mereka tidak perlu menyembunyikan yang mereka berpuasa atas kebimbangan tidak akan diturunkan dalam perlawanan, kata aktivis sukan, Ahmed Mnahi.

“Kini mereka berasa lebih selesa untuk memaklumkan yang mereka berpuasa kerana peraturan membenarkan untuk berbuka ketika dalam perlawanan yang akan menyegarkan mereka semula untuk beraksi cemerlang,” katanya.

Pakar pemakanan sukan, Holly Edstein, yang telah bekerja dengan atlet yang berpuasa pada Ramadan, turut mengalu-alukan inisiatif baharu itu.

“Ia menyerlahkan Liga Australia benar-benar menghargai satu pertandingan inklusif dan pada yang masa sama menghargai impak nutrisi ke atas kedua-dua kesihatan dan prestasi atlet,” katanya.

Menurutnya, ia bukan hanya akan membantu output fizikal pemain tapi juga fungsi kognitif mereka, termasuk pelaksanaan skil dan pembuatan keputusan. Ia juga akan membolehkan mereka mengekalkan prestasi untuk tempoh lebih lama dan mengurangkan risiko kecederaan daripada kepenatan yang keterlaluan.

Pemain tengah ‌Brisbane Roar dan pemain antarabangsa Afghanistan, Rahmat Akbari, menambah bahawa bermain dan berlatih pada Ramadan boleh menjadi 'amat sukar' kepada pemain yang berpuasa.

Selepas mewakili Australia di peringkat bawah 17 tahun, Akbari kemudian memilih beraksi untuk skuad kebangsaan Afghanistan.

Rahmat Akhbari

Rahmat Akbari mengatakan bahawa bermain dan berlatih pada Ramadan boleh menjadi 'amat sukar' kepada pemain yang berpuasa. — Agensi

BACA LAGI: Sang Kenari umum senjata baharu, fans pula luah kerisauan

Selepas mengalami kecederaan ketika Ramadan dua tahun lalu, dia berpendapat ia sesuatu yang 'sangat bagus' untuk meluangkan sedikit masa bagi pemain berbuka.

“Dalam bulan puasa, bola sepak akan memberi kesukaran. Kami di Brisbane di mana cuacanya sangat panas,” katanya kepada SBS Dari.

“Kami perlu mengekalkan nutrisi yang baik, minum banyak air selepas iftar dan berhati-hati mengelakkan dehidrasi.

“Ia juga amat sukar dalam latihan. Saya mengalami kecederaan teruk ketika sedang berpuasa dua tahun lalu. Ternyata ia sangat sukar.”

Seperti dua pemain terdahulu itu, Akbari menghargai badan pentadbir Liga-A kerana prihatin dengan keperluan pemain Muslim berbuka seketika dalam perlawanan.

“Ini satu idea sangat baik. Terima kasih kepada mereka kerana kebanyakan perlawanan Liga-A membuat sepak mula sebelum matahari terbenam.

“Sudah tentu ada hak televisyen dan ini juga sesuatu untuk mereka. Kami tidak boleh meminta mereka melengahkan perlawanan selepas iftar. Cuma kami boleh mohon, ‘bolehkah kami berhenti seketika untuk iftar?’, jadi mereka membenarkan pemberhentian dua minit,” katanya lagi.

Perancis yang sekular harus ada satu atau dua perkara untuk belajar daripada Australia kerana tiada banyak makna untuk mereka pernah menjulang Piala Dunia jika hak pemain Muslimnya tidak pun dihormati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram