[VIDEO] Ramadan pertama, Bruno Suzuki tetap cari sushi sebagai juadah berbuka puasa


  • Podium
  • Khamis, 28 Mac 2024

Bruno (dua dari kiri) mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pulapol Kuala Lumpur. — Facebook/PDRMFC

MUNGKIN, ramai yang belum tahu penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki sah memeluk Islam di Masjid Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Ogos 2023.

Pemain berusia 33 tahun tersebut mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Arif M. Rajoli.

Tidak hairanlah, penyerang berketinggian 1.75 meter yang hampir setahun memeluk agama Islam itu berasa teruja untuk menyambut bulan Ramadan buat pertama kali dalam hidup pada tahun ini.

Menerusi satu hantaran video di laman Facebook, Malaysian Football League dalam segmen Terjah Bazaar sempat berkongsikan momen Bruno meluangkan masa membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan.

Dalam video yang dihoskan oleh Mia Ibrahim selaku hos Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pemain kacukan Jepun-Brazil itu diberikan cabaran untuk mencari beberapa juadah berbuka puasa.

Antara juadah yang perlu dicari oleh Bruno di bazar Ramadan Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor itu adalah pepes, pulut panggang, ayam percik dan air keladi.

Meskipun tidak mengenali jenis-jenis juadah berkenaan, Bruno bagaimanapun berjaya mencari dan membeli juadah tersebut.

Lebih menarik lagi, Bruno sempat membeli set hidangan sushi yang cukup sinonim di negara Matahari Terbit itu.

Di samping itu, pemain berusia 33 tahun itu juga sempat berkongsikan perjalanan hidupnya sebagai seorang mualaf.

"Pertama kali berpuasa, ia sedikit sukar tapi saya cuba belajar untuk biasakan diri dengan berpuasa dan saya berasa lebih baik sekarang," katanya.

Ketika ini, pemain import berkenaan sibuk mendalami agama Islam dengan menghadiri kelas agama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram