Dalam diam buat kerja, ex- Penang, skuad Jang hampiri status naturalisasi


  • Podium
  • Jumaat, 29 Mac 2024

Casagrande (dua dari kiri) tidak lagi terikat dengan mana-mana kelab setelah dilepaskan Negeri Sembilan FC. — Facebook/Penang FC

PROGRAM naturalisasi negara mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong kerana ia dilihat menutup peluang kepada pemain tempatan untuk menyerlah.

Meskipun ia membawa arena bola sepak tempatan ke tahap lebih tinggi, ada yang beranggapan pendekatan demikian hanya penyelesaian jangka masa pendek.

Jadi, dalam menyelesaikan isu tersebut, Kementerian Belia dan Sukan menegaskan program itu akan dihentikan sementara dengan tiada lagi pemain naturalisasi bakal diserap ke dalam Harimau Malaya.

Bagaimanapun, peluang masih diberikan kepada kelab-kelab Liga Super untuk memberi kewarganegaraan buat pemain yang memenuhi syarat lima tahun berada dalam negara.

Kesempatan itu pasti akan disambar kerana status naturalisasi akan membolehkan pasukan yang berminat membawa masuk rekrut baharu dari luar negara tanpa memberi kesan terhadap kuota import.

BACA LAGI: Kehilangan arkitek dirasa, status Casagrande berbangkit di sebalik kemenangan NSFC jinakkan Kelantan United

casagrande-penang-fc-perak-fc-2021-a

Casagrande mencipta nama ketika dua kali menyertai skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Malah, ada juga pemain yang berminat untuk meraih kewarganegaraan meskipun tidak terikat dengan mana-mana kelab dalam misi mencari majikan baharu.

Bekas penyerang Penang FC dan Negeri Sembilan FC, Casagrande merupakan antara yang berminat akan peluang itu melihat kepada satu foto dimuat naik di laman Instagram peribadinya.

"Terima kasih atas segala-galanya, sahabatku. Saya tidak mempunyai kata-kata untuk meluahkan penghargaan saya atas apa yang sudah anda lakukan kepada saya dan keluarga.

"Saya amat bersyukur kerana berpeluang mempunyai hubungan persahabatan dengan anda dan saya harap ia akan terus berkekalan," katanya.

BACA LAGI: Casagrande bakal dapat pasangan baharu — Tomas Trucha

WhatsApp Image 2024-03-29 at 9.04.26 AM

Casagrande (kiri) bersama kenalan yang difahamkan ejennya. Instagram/Casagrande

Hantaran itu dibuat memaparkan pemain berkenaan bersama ejennya yang mewakili Etminan Brazil di ruang legar Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara baru-baru ini.

Penyerang tinggi lampai tersebut memulakan kariernya dalam arena bola sepak tanah air bersama Felcra FC pada 2018 sebelum mewakili beberapa kelab lain.

Musim lalu, ketika bersama skuad Jang, kecederaan menghalang Casagrande untuk menyerlah apabila dia hanya merekodkan tujuh gol dalam kesemua pertandingan.

Kini, dia berstatus ejen bebas dengan khabar angin mengatakan pemain itu bakal kembali ke pangkuan skuad Harimau Kumbang yang diwakilinya sebanyak dua kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram