NEGERI Sembilan FC (NSFC) nampaknya perlu bekerja keras untuk mendapatkan jaringan gol di gelanggang Johor Darul Takzim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Sabtu terutamanya selepas bolos tiga gol dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan sebelum ini.
Juara bertahan, Harimau Selatan sebelum ini meraih bekalan selesa apabila membenam skuad Jang Hobin Jang 3-0 menerusi jaringan gol dari Arif Aiman Hanapi dan penyerang import, Bergson dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia itu.
Bukan hanya bekalan selesa Harimau Selatan dan aksi di laman sendiri menjadi kebimbangan skuad kendalian K.Devan, malah Negeri Sembilan juga dikhabarkan akan tempang tanpa kelibat dua tonggak import mereka.
Kehilangan dua pemain import tersebut ialah pertahanan kental, Mark Goulan dan penyerang kelahiran Brazil, Casagrande yang mana kedua-dua mereka merupakan ayam tambatan skuad Jang Hobin Jang untuk membantu pasukan memperolehi mata.
Khabar angin mengenai ketiadaan dua pemain utama itu tersebar di laman media sosial penyokong NSFC, The Jangs N9 yang mana dalam ciapan tersebut juga mengaitkannya dengan isu tunggakan gaji.
Tangkap layar ciapan dari laman penyokong itu.
"MG9 (Goulan) dan C99 (Casagrande) sah tidak bersama pasukan ke Johor. Pemain tempatan sah bersedia nak hadap JDT. Gaji Ogos sah belum ada khabar berita. Ketua jurulatih kekal senyum. CEO sah hilang daripada radar," tulis laman penyokong itu di platform X.
Masalah gaji ini pernah diutarakan oleh pemainnya sendiri, Zaquan Adha yang turut meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap isu kontroversi itu di media sosial peribadinya.
Kapten kelab itu sebelum ini pernah membangkitkan spekulasi masalah gaji yang berlaku dalam skuad Jang Hobin namun sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan NSFC.
Memetik laporan portal Harimau Malaya sebelum ini, di sebalik perkhabaran mengenai masalah gaji yang berlaku dalam kelab tersebut, namun sehingga kini tiada sebarang aduan rasmi dibuat.
Apabila seseorang pemain hanya meluah di media sosial dan bukannya membuat aduan rasmi kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), sukar untuk mereka dibantu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,