Kehilangan arkitek dirasa, status Casagrande berbangkit di sebalik kemenangan NSFC jinakkan Kelantan United


  • Podium
  • Ahad, 06 Ogos 2023

NSFC memulakan langkah kanan dalam dalam aksi Piala Malaysia apabila menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC pada Sabtu. — Facebook/NSFC

NEGERI Sembilan FC (NSFC) memulakan langkah kanan dalam dalam aksi Piala Malaysia apabila menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Namun begitu, kemenangan tipis skuad Hobin Jang Hobin terhadap pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu bukanlah mudah dan dianggap sebagai nasib sahaja dalam kalangan segelintir peminat.

Manakan tidak, walaupun tewas, Kijang Hijau masih ada peluang mara ke suku akhir dengan syarat mereka menewaskan skuad kendalian K. Devan dalam aksi timbal balik pada 20 Ogos ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Jika melihat kepada rekod sebelum ini, Kelantan United FC pernah membolosi gawang mereka di Paroi sebanyak tiga kali pada 23 Mei lalu sekali gus menjadikan ia faktor yang perlu dipandang serius Devan jika mahu NSFC layak ke suku akhir.

Malah, ada segelintir penyokong yang berasakan kehilangan sebahagian besar tonggak lama dalam skuad Negeri Sembilan FC menjadi antara punca pasukan itu bergelut untuk mendapatkan rentak yang konsisten.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 23.36.18

Levy Madinda berhijrah ke kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung selepas meninggalkan skuad Hobin Jang Hobin. — Facebook/NSFC

Seorang penyokong, Abdullah Sani berpendapat pasukan kesayangannya itu dihambat masalah kehambaran dalam jentera tengahnya selepas kehilangan pemain import Levy Madinda yang berhijrah ke kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.

"Kehilangan Madinda sememangnya dirasai. Penyerang NSFC, Mahali Jasuli sudah boleh fokus duduk rumah," tulisnya seperti mengkritik sumbangan pemain tempatan itu.

Pada masa sama, Abdullah turut mempersoalkan status penyerang import, Anselmo Arruda da Silva ataupun lebih dikenali sebagai Casagrande dalam kalangan peminat.

"Apa status Casagrande? Ada yang kata sudah ditamatkan kontrak?" soalnya.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 23.34.13

Kali terakhir Casagrande diturunkan dalam kesebelasan utama ialah pada Mei lalu dalam aksi Liga Super ketika NSFC menentang PDRM FC. — Facebook/NSFC

Untuk rekod, sepanjang 13 penampilan dalam aksi Liga Super, pemain kelahiran Brazil ini sudah pun menjaringkan lima gol dan tiga assist setakat ini.

Kali terakhir pemain berketinggian 1.93 meter itu diturunkan dalam kesebelasan utama ialah pada bulan Mei lalu dalam aksi Liga Super ketika NSFC menentang PDRM FC.

Seorang lagi penyokong Razali Ismail turut meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap jentera tengah pasukan tersebut.

"Tetapi midfield (pemain tengah) memang bermasalah. Nasib baik ada Herold Goulon dan penjaga gol, Sikh Izhan," katanya.

Pasukan Negeri Sembilan FC kini berada di tangga kesembilan Carta Liga Super dengan mengumpul 21 mata penuh selepas mengharungi 18 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram