PEMBUBARAN Liga Perdana pada awal musim lalu menyebabkan orang ramai mula tertanya-tanya mengenai masa depan pemain tempatan, lebih-lebih lagi di posisi penyerang.
Kesukaran mereka untuk berentap dalam Liga Super yang dibanjiri peledak luar negara sehingga menyekat peluang masing-masing di atas padang.
Sekiranya masing-masing memilih untuk beraksi dalam Piala MFL, terdapat pandangan bahawa keputusan berkenaan hanya akan menyekat perkembangan pemain muda.
Jadi, bagi sesetengah penyerang lokal, mereka memilih untuk menyertai mana-mana pasukan yang kini berentap dalam Liga M3.
Pertandingan yang dianjurkan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu menyaksikan sebanyak 13 pasukan menyertainya dengan Kuala Lumpur (KL) Rovers kini mendahului carta.
Azim pernah menimba pengalaman Liga Super bersama Penang FC dan KL City FC. — Agensi
Menariknya, peraturan khas Liga M3 menyaksikan hanya pemain tempatan yang boleh diturunkan, sekali gus memberi ruang buat mereka mencipta nama.
Antara yang mengambil peluang itu ialah penyerang Imigresen FC, Azim Rahim apabila dia sudah menjaringkan 22 gol dalam 19 perlawanan buat pasukannya.
Sumbangannya itu membolehkan kelab berkenaan menduduki tangga kedua Liga M3 dengan tujuh mata membezakan mereka dengan pendahulu carta.
Kebolehan bekas penyerang Penang FC dan KL City FC itu sudah tentu akan memberi satu tarikan buat pasukan-pasukan Liga Super untuk mendapatkan khidmatnya.
Meskipun ia akan menjadi satu perjudian, statusnya sebagai penyerang tempatan tidak akan memberikan satu tekanan terhadap permintaan gaji.
Berdasarkan kesemua 14 pasukan Liga Super ketika ini, terdapat tiga destinasi yang dilihat cukup baik buat Azim untuk kembali membuktikan kebolehannya.
1. Penang FC
Sejak menyertai Liga Super beberapa musim lalu, Penang FC meletakkan harapan cukup tinggi terhadap penyerang import, seperti Lucas Silva dan Casagrande.
Namun, dalam kempen 2023, langkah berkenaan hanya merugikan pasukan apabila dua pemain yang direkrut di posisi itu, Giovane Gomes dan Abdeen Temitope Abdul tidak membuahkan hasil.
Ia memberi gambaran bahawa ketua jurulatih, Chong Yee Fatt lebih sesuai untuk menggunakan khidmat anak jati yang mampu mencipta keserasian antara satu sama lain.
Perkara itu sudah dibuktikan sejak pertengahan musim apabila penyerang muda, Alif Ikmalrizal tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dalam sistem permainan skuad Harimau Kumbang.
Alif (kiri) menjadi bukti penyerang tempatan mampu bersinar bersama skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Jadi, sekiranya Yee Fatt atau pihak pengurusan Penang FC mahu membawa masuk penyerang tempatan, Azim merupakan antara pilihan terbaik ketika ini.
Selain pernah menabur khidmat buat pasukan Utara tanah air itu, penyerang berusia 26 tahun tersebut pastinya tertarik untuk menyertai skuad Harimau Kumbang yang mampu memberikannya minit permainan.
Di samping itu, kestabilan struktur kewangan Penang FC juga akan menarik perhatiannya memandangkan kelab itu jarang berdepan isu tunggakan gaji.
Bagaimanapun, perubahan dari segi hala tuju pasukan dikhuatiri akan menutup pintu kepulangannya meskipun peminat setia kelab akan terbuka untuk menerima kehadirannya semula
2. Perak FC
Musim ini, kehadiran penyerang kelahiran Korea Selatan, Seo Seon-ung boleh dianggap sebagai satu rahmat buat Perak FC yang bergelut dalam Liga Super.
Walaupun ia merupakan musim debutnya, pemain berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah dalam menyesuaikan diri apabila sudah mencetak lima gol dalam 11 penampilan.
Tetapi, ketiadaannya akibat kecederaan pada pertengahan musim menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) tempang apabila peranannya diisi Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Christian Obiozor.
Kedua-dua pemain itu dilihat cukup bergelut untuk menyesuaikan diri memandangkan masing-masing tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam Liga Super.
Skuad TBG perlu mencari seorang penyerang prolifik untuk bersaing musim depan. — Facebook/Perak FC
Jadi, sekiranya pihak pengurusan Perak FC mahu mencari seorang yang mampu menggantikan Seo, Azim boleh dilabel sebagai calon terbaik.
Situasinya yang ketika ini berada dalam Liga M3 pasti akan memudahkan usaha kelab Utara tanah air itu untuk mendapatkan khidmatnya tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.
Usianya yang baru sahaja mencecah 26 tahun juga merupakan satu aset utama dengan skuad TBG kerap memberikan peluang buat pemain muda dalam Liga Super.
Meskipun Perak FC ketika ini sudah memiliki Luka Milunovic, sumbangannya yang kurang prolifik menimbulkan tanda tanya lebih besar mengenai masa depannya bersama kelab itu.
3. Sri Pahang FC
Kecemerlangan penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman membolehkan skuad Tok Gajah menduduki tangga kelima Liga Super selepas mengharungi 21 perlawanan.
11 gol serta lima bantuan jaringan yang dihasilkannya meletakkannya sebagai antara penyerang terbaik setaraf dengan Bergson da Silva dan Ayron del Valle.
Tetapi, usianya menjadi satu isu sekiranya Sri Pahang FC mahu terus menaruh harapan buatnya pada 2024 dengan tahap kecergasannya pasti akan terjejas.
Kecemerlangan Kpah amat ditagih skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Dua penyerang lain, iaitu Lucas Silva dan Rafael Silva bukanlah satu solusi tepat buat pasukan Pantai Timur itu dengan impak masing-masing masih belum dirasai.
Kehadiran Azim yang menunjukkan kecergasan optimum sepanjang musim mampu memberikan satu dimensi baharu buat skuad Tok Gajah sekiranya khidmatnya mampu diraih musim depan.
Meskipun gandingan antara kedua-dua pihak masih belum pernah diuji, kebolehan Fandi Ahmad untuk menggunakan pemain yang kurang dikenali mampu menyelesaikan kekhuatiran itu.
Selain itu, kekurangan graduan dari akademi Sri Pahang FC di posisi terbabit turut membuka pintu buat Azim jika dia tertarik untuk merasai suasana bersama pasukan Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram