KETUA jurulatih Penang FC, Tomas Trucha mengesahkan beliau akan membawa masuk seorang lagi pemain import untuk digandingkan dengan penyerang Brazil, Anselmo Arruda da Silva atau Casagrande musim ini.
Menurutnya, penyerang tersebut akan tiba dalam masa terdekat dan beliau percaya pemain itu akan menambah kekuatan di bahagian serangan pasukan bersama Casagrande yang menampilkan aksi cemerlang dengan 12 jaringan pada musim lalu.
Jurulatih dari Republik Czech itu berkata, beliau tidak mahu tugas menjaringkan gol hanya tertumpu kepada Casagrande sahaja kerana pemain lain juga mempunyai kebolehan melakukan jaringan bagi membantu pasukan.
“Sebelum ini saya pernah katakan yang saya tidak mahu bergantung kepada Casagrande sahaja sebab ada juga pemain lain yang boleh jaringkan gol.
“Walaupun beliau berada di atas padang, ada juga pemain lain yang menjaringkan gol dan ini yang saya mahukan.
“Kita akan membawa masuk seorang lagi penyerang untuk bersama-sama dengan Casagrande, dan pemain itu juga akan dapat membantu dengan lebih kerap di bahagian serangan sekiranya salah seorang daripada mereka cedera atau sebagainya.
“Sekarang saya juga ingin menekankan bagaimana pemain-pemain ini perlu ada skil untuk menjaringkan gol dan boleh memberikan penyudah berkesan”, katanya.
Dalam pada itu, Trucha enggan meletakkan sasaran tertentu kerana misinya hanya ingin mempersiapkan skuad terbaik bagi mengharungi saingan musim 2022.
Jelasnya, apa yang penting adalah anak buahnya mampu mengulangi persembahan mantap yang dijelmakan musim lalu sehingga mereka berjaya mencipta kejutan menamatkan saingan di tangga ketiga liga.
“Kalau kita tengok pada musim lalu, sasaran awal adalah untuk sekurang-kurangnya untuk berada di kedudukan enam terbaik liga, tetapi saya sentiasa mengingatkan pasukan untuk pergi satu demi satu perlawanan terlebih dahulu dan akhirnya kita berjaya berada di tangga ketiga.
“Sama juga musim ini di mana kita akan lihat kedudukan liga daripada apa yang sudah kita lakukan dalam setiap perlawanan nanti,” tambahnya.
Bagi saingan musim ini, Penang FC mengekalkan tiga pemain import mereka iaitu Casagrande, Rafael Vitor dan Endrick dos Santos, manakala dua lagi pemain import akan diumumkan dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram