SEBELUM ini, kecoh di media sosial mengatakan Penang FC mahu memperkukuhkan benteng pertahanan dengan membawa masuk seorang pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.
Antara nama yang disebut-sebut ialah bek tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee yang sering memanaskan bangku simpanan musim lalu.
Khabar angin itu muncul selepas dia pernah diangkat sebagai antara pertahanan terbaik negara pada 2022 ketika masih beraksi bersama Negeri Sembilan FC.
Namun, kecederaan dialaminya ketika saingan Piala AFF menyaksikannya bergelut dengan isu kecergasan dan kecederaan sepanjang bergelar pemain Gergasi Merah.
BACA LAGI: Penang nafi bajet kelab dipotong, dakwa amalkan proses kewangan teratur
Richmond lebih kerap berada dalam skuad simpanan Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Jadi, dalam misi mengembalikan semula prestasi terbaiknya, pemain kelahiran Melaka itu dikhabarkan bakal menyarung jersi Penang FC musim depan.
Tetapi, hasrat itu seakan-akan tidak tercapai selepas kata persetujuan tidak tercapai kedua-dua kelab, sekali gus memaksa skuad Harimau Kumbang mencari alternatif lain.
Pencarian berkenaan seakan-akan bakal menemui titik noktahnya tidak lama lagi apabila pasukan Utara tanah air itu dilaporkan sudah berjaya menyambar seorang lagi bek tengah Selangor FC, Richmond Ankrah.
Hal itu dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Fina Nasrom yang mengatakan pemain kelahiran Ghana tersebut sudah semakin hampir disahkan sebagai import baharu Penang FC.
BACA LAGI: Ikut jejak langkah Faisal Halim, prospek Penang dapat rezeki ke Sri Pahang
"Bekas pertahanan import Selangor FC, Richmond Ankrah khabarnya sudah tiba di Pulau Pinang untuk melengkapi pemain import ketiga Penang FC," tulisnya di laman X.
Setakat ini, skuad Harimau Kumbang sudah memiliki dua pemain import, iaitu kapten pasukan, Rafael Vitor serta penyerang baharu, Rodrigo Dias.
Kehadiran Richmond turut dihangatkan dengan satu klip di laman media sosial kelab memaparkan seseorang dengan susuk fizikal seakan-akan pemain itu.
Untuk rekod, pemain berusia 24 tahun terbabit mencatatkan 10 penampilan bersama Selangor FC musim lalu dengan enam daripadanya diraih bersama skuad simpanan.
Meskipun kurang berpengalaman dalam Liga Super, dia masih memiliki struktur fizikal cukup baik untuk digandingkan dengan Rafael musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram