SELEPAS mengesahkan Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih Selangor FC, kelab itu meneruskan pencarian untuk mendapatkan pembantu bermutu tinggi bagi memastikan misi memburu kejuaraan pada musim depan tercapai.
Nidzam berjaya menewaskan tiga calon jurulatih luar untuk mengemudi Selangor dengan cabaran besar menantinya dalam membawa kejayaan buat Gergasi Merah di peringkat domestik serta Asia.
Kini, Selangor dalam proses mendapatkan pembantu jurulatih baharu untuk membantu Nidzam. Menurut Nidzam, dia sedang mencari dua pembantu untuk menolongnya menguruskan skuad Selangor.
Buat masa sekarang, pencarian masih lagi berjalan dengan masih belum ada nama yang telah disenarai pendek untuk membantu Nidzam. Namun begitu, Nidzam mengatakan yang dia mahukan seorang pembantu tempatan dan antarabangsa.
"Buat masa sekarang, kami belum ada sesiapa lagi. Tapi, kami sedang mengenal pasti beberapa nama dan kriteria. Tetapi, kami akan tetap mempunyai pembantu jurulatih tidak lama lagi.
"Kami ada kenal pasti beberapa calon, tapi kami cuba bawa masuk seorang pembantu jurulatih daripada luar dan seorang pembantu tempatan. Pada saya, dua pembantu ini akan memainkan peranan besar untuk Selangor pada musim 2024/2025 ini," kata Nidzam kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Jurulatih pergi, 'owner' kekal', penyokong Kelantan berang kelab lepaskan Alfredo Vera ke Indonesia
Selangor bakal menerima dua pembantu jurulatih tidak lama lagi. — Selangor FC
BACA LAGI: Tolak tepi isu 'padang buruk', fans Oman mahu bintang harapan benam Harimau Malaya
Bercakap mengenai kriteria pembantu yang diidamkan, Nidzam berkata, dia mahukan pembantu yang memahami DNA bola sepak Selangor supaya lebih mudah kejayaan dapat dijana.
Tetapi yang paling utama adalah Nidzam mahukan pembantu yang bergred Asia tidak kira bagi nama tempatan atau antarabangsa yang diambil Selangor.
"Pada saya, yang paling penting adalah mereka berpengetahuan. Mereka tahu dan jelas mengenai hala tuju dan cita-cita Selangor.
"Yang terakhir pastinya pembantu tersebut perlu mempunyai pengalaman menguruskan pasukan di Asia," ujar Nidzam lagi.
Dalam pada itu, Nidzam mengatakan yang dia gembira dengan skuad yang sudah dimilikinya setakat ini dan tidak bercadang untuk membawa pemain baharu.
Akan tetapi, Nidzam juga tidak menolak kemungkinan sekiranya Selangor akan membawa masuk pemain baharu pada minit-minit akhir sebelum jendela perpindahan Liga Malaysia ditutup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram