Penang nafi bajet kelab dipotong, dakwa amalkan proses kewangan teratur


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Pengurusan Penang menafikan dana pasukan dipotong sehingga separuh. — Penang FC

SELEPAS kontroversi melanda sebuah kelab utara iaitu Perlis United FC, kini timbul satu lagi isu berkaitan pasukan dari wilayah yang sama.

Kelab Liga Super, Penang FC sebelum ini dikatakan mengalami masalah kewangan dengan dana perbelanjaan pasukan dipotong separuh berbanding sebelum ini.

Dalam laporan Majoriti sebelum ini, Penang dikatakan melakukan pemotongan sehingga separuh bagi dana pasukan termasuklah gaji para pemain muda.

Malah, pemain import turut terkesan dengan pemotongan dana tersebut apabila bayaran kepada mereka juga dikurangkan oleh pihak kelab.

BACA LAGI: 'Nak kualiti, tapi dana dipotong?' Penang FC berjimat cermat atau alami isu kewangan?

BACA LAGI: Bawa reputasi Piala Asia, cubaan saingi Hidalgo antara 3 cabaran pemain Uzbek di Liga Super

Namun begitu, dakwaan tersebut ditepis oleh pihak pengurusan kelab yang menganggap ia adalah tidak benar dan kurang tepat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pengurus kelab, Jeffrey Chew yang mengatakan Harimau Kumbang tidak sesekali memotong bajet mereka untuk kelangsungan pasukan.

"Secara khusus bagi memastikan kestabilan pasukan, semua pasukan mendapat dana yang sewajarnya dan pilihan pemain dilakukan sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan bersama Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak," kata Jeffrey.

Dalam masa sama, Jeffrey turut mengatakan yang Penang mengamalkan tadbir urus kewangan yang baik hinggakan tiada masalah berkaitan perkara tersebut berlaku melanda mereka.

Untuk rekod, Harimau Kumbang tidak mempunyai sebarang permasalahan gaji melibatkan para pemain pada musim lepas. Satu rekod yang dianggap baik memandangkan terdapat banyak kelab Liga Super mengalami isu tersebut musim lalu.

"Sebagai rekod, sejak penubuhan Penang FC pada 2021 sehingga kini, dan dengan adanya proses kewangan yang teratur, Penang FC tidak pernah mempunyai apa-apa tunggakan," ujar Jeffrey lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram