Sumbat lebih 50 gol, skuad remaja JDT gegar Kota Singa


  • Podium
  • Isnin, 25 Mac 2024

Skuad B-15 JDT membelasah Albirex Nigata (S) dengan kemenangan besar 7-1 dalam aksi Singapore Youth League baru-baru ini. — JOHOR Southern Tigers

TIDAK dapat dinafikan, Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai tahap kecemerlangan yang tinggi dalam sukan bola sepak domestik.

Di peringkat senior, mereka telah menguasai saingan domestik dengan menjuarai Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut. Malah, Harimau Selatan juga mula meluaskan kuasa mereka di peringkat Asia dengan mula menyamai kekuatan gergasi bola sepak daripada Thailand dan Korea Selatan.

Itu cerita di peringkat senior, di peringkat junior apa kurangnya. Jelas sekali, usaha keras JDT untuk memastikan kesinambungan dalam kecemerlangan mereka di masa akan datang akan berterusan.

Buktinya, Harimau Selatan mengaum dengan kuatnya di Kota Singa iaitu Singapura. Skuad bawah 15 tahun (B-15) JDT yang menyertai Singapore Youth League (SYL) menonjolkan kualiti mereka di depan gol apabila mencipta rekod 50 jaringan dalam empat perlawanan.

Langkah kanan dilakukan oleh skuad remaja JDT itu apabila pada aksi pertama, mereka telah mencuri tumpuan kejohanan apabila membenam cabaran Woodlands Lions FC dengan kemenangan 24-0.

Rekod cantik itu diteruskan apabila mereka meraih kemenangan kedua selepas membenam cabaran St. Michael's Soccer Association 3-0 sebelum kembali mencatatkan jaringan besar apabila membelasah Tasek Sailors East 19-0.

Bukan sekadar hebat membocorkan gawang lawan, JDT juga ampuh di bahagian pertahanan apabila mereka langsung tidak bolos dalam tiga perlawanan pertama.

Rekod itu akhirnya dipecahkan pada perlawanan keempat apabila mereka memboloskan satu gol ketika berdepan Albirex Nigata (S) dalam aksi keempat. Hasil daripada bolos satu gol, JDT membalas semula dengan tujuh jaringan untuk menang 7-1.

BACA LAGI: Kalau menang memang wonderful, teruja nak tengok status padang — Pan-gon

BACA LAGI: Umum sasaran piala, pewaris jersi nombor 7 antara topik bakal dikupas Tan Sri Daud Bakar kepada fans Kedah

Ia menjadikan JDT telah mencipta rekod dengan menghasilkan 53 gol serta cuma memboloskan satu jaringan untuk memperoleh perbezaan jaringan sebanyak 52.

Hasil daripada persembahan cemerlang itu, JDT telah meraih 12 mata daripada empat perlawanan dan kini menduduki tangga kedua kumpulan B yang terdiri daripada 11 pasukan.

Mereka kini dibelakang Geylang International yang sudah bermain lima perlawanan dan masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus.

Walaupun belum berjaya menduduki puncak, tetapi skuad JDT telah menunjukkan tanda-tanda mereka bersedia untuk mengaum ganas di Singapura sekali gus meluaskan kuasa ke Kota Singa.

Jelas sekali, selain pasukan tempatan seperti Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers, JDT adalah kelab yang perlu diberikan perhatian setiap kali mereka turun beraksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram