PENCARIAN pembantu jurulatih baharu Selangor FC masih belum menemui titik noktahnya sehingga kini kerana kelab itu tidak mahu terburu-buru.
Pemergian Ramon Marcote serta keputusan melantik sebagai jurulatih tetap skuad Gergasi Merah menyaksikan posisi itu dikosongkan.
Oleh itu, seseorang yang berkaliber diperlukan menjelang pembukaan saingan Liga Super 2024/25 dengan misi besar diletakkan penyokong.
Berdasarkan laporan Majoriti terdahulu, Selangor FC mahu mendapatkan jurulatih yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas mengenai arena bola sepak tempatan.
BACA LAGI: Bantu Selangor harungi musim panjang, Nidzam Jamil buru 2 pembantu gred Asia
Skuad Gergasi Merah memerlukan barisan kejurulatihan yang cukup mantap. — Facebook/Selangor FC
Malah, Nidzam turut mendedahkan salah seorang calon dipilih hadir dari Australia dengan pihak kelab masih melakukan penilaian.
Jadi, berdasarkan klu dan gambaran diberikan, jurulatih bakal disambar merupakan seseorang yang mampu membawa skuad Gergasi Merah ke tahap lebih tinggi.
Tekaan bagaimanapun masih sukar dibuat penyokong memandangkan terdapat lambakan import dari negara tersebut pernah beraksi dalam Liga Malaysia.
Namun, sekiranya dilihat kepada senarai, hanya beberapa daripada mereka memegang portfolio sebagai jurulatih selepas tidak lagi beraksi secara profesional.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga nama yang mungkin disambar Selangor FC untuk memikul peranan sebagai pembantu Nidzam Jamil musim depan.
1. Adam Griffiths
Salah seorang import Australia yang paling dikenali dalam kancah bola sepak tempatan ialah Adam Griffiths kerana pernah mewakili beberapa kelab di England.
Malah, kehadirannya dalam Liga Super juga tidak mengecewakan apabila membawa Selangor ke kedudukan naib juara hanya di belakang Lions XII.
Selepas itu, dia memilih untuk menyertai Kedah FA untuk semusim dengan kehadirannya membantu skuad Sang Kenari kembali ke divisyen teratas.
BACA LAGI: Sense of belonging fans Selangor dipuji penyokong Sri Pahang
Griffiths (kanan) pernah beraksi dalam Liga Super bersama Selangor FA dan Kedah FA. — Agensi
Kini, dengan dia sudah berusia 44 tahun, Griffiths bergelar pembantu jurulatih di negara kelahirannya bersama beberapa kelab.
Berdasarkan maklumat semasa, pasukan terkini yang menagih khidmatnya ialah Wellington Phoenix dengan dia berada di kelab itu sejak tahun lalu.
Jadi, sekiranya Selangor FC mahukan seseorang dengan pengalaman di Asia, bekas pemain Selangor berkenaan merupakan antara calon terbaik.
Walaupun dia tidak pernah membimbing kelabnya ke saingan pentas Asia, tahun-tahun perkhidmatannya menjadikan Griffiths sebagai calon realistik.
2. Ross Aloisi
Ketika masih bergelar seorang pemain, Nidzam Jamil berpeluang bermain di samping import Australia, Ross Aliosi yang beraksi di kelab itu pada penghujung kariernya.
Meskipun hanya beraksi bersama-sama untuk tempoh masa yang singkat, kedua-dua mereka pasti pernah mempunyai hubungan baik di dalam dan luar padang.
Jadi, tidak salah sekiranya meletakkan pemain tengah itu sebagai salah seorang calon untuk menjadi pembantu kepada Nidzam musim depan.
Aliosi kini sibuk menimba pengalaman di China bersama Shanghai Port. — Agensi
Aliosi yang kini merupakan pembantu jurulatih di kelab China, Shanghai Port mempunyai pengalaman cukup baik dalam dunia kejurulatihan.
Dia yang menceburi bidang terbabit pada 2013 pernah meluangkan masa dalam beberapa pasukan lain, termasuk Yokohama F Marinos di Jepun.
Jadi, ia sudah cukup untuk meletakkannya sebagai calon ideal untuk membantu Nidzam musim depan, lebih-lebih lagi di Piala Asia.
3. Ante Milicic
Bekas penyerang Pahang FA, Ante Milicic merupakan seorang lagi import Australia yang pernah mewarnai kancah Liga Super meskipun hanya hadir untuk satu tempoh yang singkat.
Dia yang sebelum ini beraksi bersama beberapa kelab di negara kelahirannya memilih untuk menyertai skuad Tok Gajah pada 2004 dan kekal semusim di situ.
Bagaimanapun, kariernya kian melonjak selepas tidak lagi bergelar pemain bola sepak sebelum menjadi pembantu jurulatih dalam skuad antarabanga Australia.
Milicic (tengah) ketika menjadi pembantu kepada Postecoglou (kiri) pada 2015. — Agensi
Sepanjang empat tahun memegang jawatan terbabit, Milicic pernah membantu skuad The Socceroos menjulang Piala Asia 2015 ketika berada di bawah kendalian Ange Postecoglou.
Selepas itu, pada 2017, dia diberikan peluang dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Australia sebagai pengendali untuk menempuh Kejohanan AFC B-23.
Milicic akhirnya merasai pengalaman di peringkat kelab bersama Macarthur FC pada 2020 sebelum hanya bertahan di kelab itu untuk dua musim sebelum kembali ke Croatia kerana faktor keluarga.
Jadi, sekiranya Selangor FC mahu membawa seseorang dengan pengalaman cukup berkualiti, jurulatih berusia 49 tahun terbabit merupakan calon terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram